Tunggu jawapan PKR pusat isu peletakan jawatan Simsudin

Christina menyampaikan poster kempen, pelitup muka dan cecair sanitasi kepada pengundi DUN Api-Api ketika membuat lawatan mesra di sekitar Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
Christina menyampaikan poster kempen, pelitup muka dan cecair sanitasi kepada pengundi DUN Api-Api ketika membuat lawatan mesra di sekitar Jalan Gaya, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Christina Liew menyerahkan keputusan kepada ibu pejabat PKR Pusat berhubung isu peletakan jawatan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Simsudin Sidek baru-baru ini.

Christina berkata, beliau masih tidak tahu sama ada peletakan jawatan Simsudin itu diterima atau sebaliknya.

"Saya tidak tahu, sebab peletakan jawatan (surat) beliau dihantar kepada ibu pejabat. Kita tunggu jawapan daripada ibu pejabat lagi pun sekarang sibuk dengan kempen," katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas membuat tinjauan mesra di sekitar Jalan Gaya, Kota Kinabalu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu peletakan jawatan Simsudin.

ARTIKEL BERKAITAN: Pucuk pimpinan PKR belum putuskan peletakan jawatan Simsudin

Bagaimanapun Christina berkata, Simsudin masih ahli PKR dan memegang jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Labuan.

"Simsudin hanya meletakkan jawatan sebagai Ketua Penerangan bukan sebagai ahli PKR.

"Beliau seorang yang setia, seorang pemimpin yang baik sebagai Ketua Cabang PKR Labuan, jadi kita hormati keputusannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas berhubung kempen sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Christina berkata, beliau menyerahkan pilihan kepada pengundi di kawasan itu.

"Kita percaya rakyat dan pengundi faham dalam tempoh kurang lima tahun mereka mengundi lagi. Saya yakin mereka faham isu ini dan pentingnya untuk pengundi memilih calon yang betul.

"Jadi kita beri pengundi buat keputusan untuk mereka sendiri, kita pula teruskan kempen," katanya.

DUN Api-Api akan menyaksikan perlawanan sembilan penjuru termasuk tiga daripadanya adalah calon Bebas.