Lesen kelab: KFA mohon lanjut tempoh hantar dokumen

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) merayu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk melanjutkan tempoh melengkapkan proses pelesenan kelab yang sepatutnya diserahkan esok.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dokumen pelesenan pasukan Kedah telah mencapai tahap 98 peratus, namun tinggal beberapa perkara yang perlu diselesaikan sebelum dokumen diserahkan kepada FAM dalam masa terdekat.

Menurutnya, antara perkara-perkara yang perlu diselesaikan bagi melengkapkan dokumen tersebut termasuklah tunggakan gaji kepada pemain-pemain Lang Merah.

"Kita telah merayu kepada FAM supaya diberi lanjutan untuk menyiapkan dokumen yang diminta untuk proses pelesenan kelab. Sepatutnya dokumen dihantar esok namun perlu selesaikan tunggakan bayaran kepada beberapa pihak yang terlibat termasuk gaji pemain.

"Semua sedia maklum, hutang kita banyak hingga mencecah RM10.6 juta dan itu jumlah yang banyak berbanding pasukan lain. Saya ucapkan terima kasih kepada FAM kerana memberikan keizinan selain memahami situasi yang dihadapi oleh Kedah," katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, KFA juga sedang dalam proses melunaskan semua bayaran tertunggak termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam sidang akhbar sama, beliau turut menghargai dan memuji kesungguhan semua pemain Kedah apabila berjaya mendaki ke tangga kedua Liga Super 2020 selepas tujuh perlawanan.

Pada 3 September lalu, Sinar Harian melaporkan terdapat empat pasukan Liga Malaysia didapati gagal melengkapkan dokumen bagi proses pelesenan kelab mengikut tarikh akhir yang telah ditetapkan FAM iaitu pada 30 Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Firdaus Ahmad berkata, lima daripada enam kriteria iaitu personal dan pengurusan, infrastruktur, kesukanan, undang-undang dan perniagaan telah melepasi status ditetapkan dan pihaknya dalam proses melengkapkan kriteria kewangan.