Pengundi Sabah bimbang Covid-19 meningkat sepanjang PRN

Perang bendera bermula apabila parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah semakin banyak dipasang ketika tinjauan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu hari ini. - Foto Bernama
Perang bendera bermula apabila parti-parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sabah semakin banyak dipasang ketika tinjauan di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Penduduk Sabah bimbang terhadap peningkatan kes pandemik koronavirus (Covid-19) sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berlangsung sehingga 26 September ini.

Seorang penjawat awam, Rina Singkina, 37, dia mengakui bimbang dengan jumlah peningkatan kes yang dicatatkan setiap hari yang berpunca daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memasuki sempadan negara secara haram.

“Saya sebenarnya berasal dari Lahad Datu iaitu kawasan yang dikaitkan dengan kluster ini dan sudah pasti saya akan rasa bimbang tentang keselamatan keluarga terutama sepanjang PRN Sabah.

“Sudah pasti saya dan suami agak risau malah bimbang untuk turun mengundi jika rakyat sendiri leka dengan prosedur standard operasi (SOP) pihak berwajib.

"Sudah pasti juga waktu berkempen untuk meraih undi juga adalah waktu kritikal kerana ia diadakan secara berkumpulan dan berhimpun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk berasal dari daerah sama, Aman Thomas, 36, turut mengakui terkejut dengan jumlah peningkatan mendadak Covid-19 di Sabah khususnya di Lahad Datu sehingga wujudnya kluster baharu.

“Meskipun kes ini dalam pengawasan pihak berkuasa namun orang ramai perlu mengambil berat berkaitan SOP dan mengelakkan dari berada di kawasan tumpuan jika tidak ada keperluan.

“Untuk PRN kali ini, saya akui ada sedikit kebimbangan bukan sahaja untuk turun mengundi tetapi bimbang aktiviti perniagaan terjejas semula seperti sebelum ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Peningkatan jumlah kes baharu Covid-19 yang dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada setiap hari di seluruh negara dilihat sebagai suatu perkara membimbangkan khususnya di Sabah.

Sabah merupakan negeri penyumbang utama kepada pertambahan jumlah kes selepas kewujudan kluster baharu yang dinamakan Kluster Benteng LD apabila ia bermula daripada tujuh kes positif Covid-19 yang dikesan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah awal bulan ini.

ARTIKEL BERKAITAN Covid-19: Lagi kluster baharu dikesan di Sabah

Difahamkan, kluster baharu itu dikenal pasti hasil saringan terhadap tahanan baharu di lokap IPD Lahad Datu, Sabah pada 28 Ogos lalu.

Sehingga semalam, KKM melaporkan 47 kes baru di mana daripada jumlah itu, 31 kes adalah di Sabah (kes tempatan) dan 14 kes lagi adalah di Kedah (kes tempatan) manakala hanya dua merupakan kes import.

Daripada 31 kes baharu yang dicatat di Sabah, 22 kes dikesan daripada Kluster Benteng Lahad Datu melibatkan lapan warganegara dan 14 bukan warganegara.

Sementara sembilan kes selebihnya terdiri daripada empat kes saringan warga emas di klinik kesihatan, dua kes saringan di pusat kuarantin, satu kes saringan petugas kesihatan, satu kes saringan Orang Kena Tahan di Kudat dan satu kes Infuenza-like illness (ILI).