Kerajaan tubuh pasukan elit cegah jenayah alam sekitar

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sidang media mengenai Penubuhan Unit Cegah Jenayah Alam sekitar di kementeriannya hari ini.- Foto: Bernama
Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika sidang media mengenai Penubuhan Unit Cegah Jenayah Alam sekitar di kementeriannya hari ini.- Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Kementerian Air dan Sumber Asli (KASA) menubuhkan pasukan elit bagi mencegah jenayah alam sekitar berikutan beberapa isu dan kerumitan ketika menjalankan operasi.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pasukan yang turut dianggotai oleh unit penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Biokeselamatan (JBK) dan polis akan menangani isu pencemaran secara proaktif dan holistik.

Beliau berkata, pasukan elit itu dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada Oktober depan.

"Agensi penguat kuasa dalam kementerian memerlukan sokongan sumber logistik, kepakaran forensik dan risikan, kekuatan anggota serta pemantapan undang-undang dan bidang kuasa bagi menangani masalah ini," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Khas Kasa dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KASA, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata, perbincangan susulan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan supaya unit tersebut dapat diperkukuhkan selain melibatkan pertambahan jawatan dan peruntukan kewangan tambahan.

Selain itu katanya, mesyuarat juga bersetuju polis mengambil tindakan segera ke atas penjenayah alam sekitar, penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta IndustriPerkhidmatan Air 2006.

"Setakat ini, perwakilan kuasa Akta Biokeselamatan 2007 telah dipertanggungjawabkan kepada PDRM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jenayah alam sekitar di peringkat global merupakan jenayah terancang keempat terbesar selepas dadah, pengubahan wang haram, dan pemerdagangan manusia iaitu mencecah sehingga AS$258 bilion pada 2016.

Ditanya mengenai perkembangan terkini insiden pencemaran Sungai Gong, beliau berkata, kertas siasatan oleh JAS dan SPAN telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

"Merujuk kepada Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain daripada syarikat yang dituduh, pengarah, ketua pegawai eksekutif, pengurus atau lain- lain pegawai boleh juga dituduh di atas kesalahan yang dilakukan di bawah akta ini.

Baru-baru 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang membabitkan 1.2 juta pengguna mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual pada 3 September lalu berikutan pencemaran sumber air di Sungai Gong.

Enam individu termasuk empat pengurus kilang dan dua pekerja turut direman bagi membantu siasatan.