Perak harap kerajaan timbang kurang tempoh pengecualian cukai

Nolee Ashilin (duduk) bertanyakan sesuatu kepada Ramasamy ketika hadir pada Majlis Penyerahan Alatan Pemulihan kepada Orang Berinsurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Taman Melor, Malim Nawar, di sini hari ini.
Nolee Ashilin (duduk) bertanyakan sesuatu kepada Ramasamy ketika hadir pada Majlis Penyerahan Alatan Pemulihan kepada Orang Berinsurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Taman Melor, Malim Nawar, di sini hari ini.
A
A
A

KAMPAR - Kerajaan Perak sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan kelonggaran mengurangkan tempoh 48 jam kepada 24 jam bagi pelancong menikmati pengecualian cukai di Pulau Pangkor.

Dalam pewartaan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai, syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebelum ini, pelancong perlu berada di Pulau Pangkor sekurang-kurangnya 48 jam untuk mendapatkan pengecualian cukai untuk barangan terpilih di pulau tersebut.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, jumlah kehadiran pelancong di Pulau Bebas Cukai itu terus mencatatkan peningkatan malah berlaku kesesakan di jeti pada setiap hujung minggu.

"Kerajaan negeri telah membuat permohonan supaya syarat itu dilonggarkan kepada 24 jam sahaja bukan 48 jam. Permohonan tersebut telah dihantar dua bulan lalu kepada Kementerian Kewangan tetapi kita masih belum mendapat apa-apa keputusan daripada pihak kerajaan.

"Untuk rekod, jumlah kehadiran pelancong ke Pulau Pangkor terus mencatatkan peningkatan khususnya pada hujung minggu. Daripada bulan Januari lalu, kita dah tambah perjalanan feri daripada 18 kepada 48 trip ke Pulau Pangkor," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Penyerahan Alatan Pemulihan kepada Orang Berinsurans Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Taman Melor, Malim Nawar di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Perkeso Perak, Anthony Arul Dass.

Dalam pada itu, Nolee Ashilin berkata, kehadiran pelancong ke Perak sehingga ini sangat baik daripada yang dijangkakan selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, dari segi tempahan hotel, pada bulan lalu sahaja terdapat 67,000 tempahan yang diterima daripada sampel 50 hotel di Perak.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Pulau Pangkor menjadi destinasi pilihan utama pelancong ke negeri ini dengan jumlah pertambahan pelancong yang sangat ketara iikuti lokasi-lokasi lain seperti Bandar raya Ipoh, Gopeng, Royal Belum dan Taiping.

Malah katanya, kesesakan luar biasa di Jeti Pulau Pangkor disebabkan pelancong yang terlampau ramai pada setiap hujung minggu menimbulkan masalah dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Kami dalam perbincangan dengan pihak operator feri bukan disebabkan feri tidak ditambah tetapi kerana jualan tiket yang tidak dibuat dalam tempoh tertentu jadi berlaku lambakan pelawat yang menunggu di jeti.

"Dengan keadaan jeti yang kecil memerlukan naik taraf dilakukan bagi mengelak kesesakan berlaku di kawasan itu," katanya.

Sementara itu, mengenai Majlis Penyerahan Alatan Pemulihan Perkeso itu, Nolee Ashilin berkata, pemberian alatan tersebut diserahkan kepada penerima iaitu P Ramasamy, 71, yang mengalami kesukaran untuk berjalan.

Menurutnya, selain itu, Ramasamy turut menerima pencen bulanan daripada Perkeso berjumlah RM1,540 setelah keilatannya disahkan oleh Jemaah Doktor Rayuan Perkeso.