X

Kindly register in order to view this article
!

NGO jangan masuk kawasan PKPD pentadbiran: MB Kedah

Muhammad Sanusi (kiri) menyampaikan sumbangan Pas Kedah kepada Pegawai Daerah Kota Setar, Datuk Mohd Asri Redha Abdul Rahman di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A

ALOR SETAR - Badan bukan kerajaan (NGO) diminta menyalurkan sumbangan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan bukannya terus kepada penerima di kawasan terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanudi Md Nor berkata, kegagalan NGO mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan boleh menjadi punca penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19).

"Saya dimaklumkan di Zon Melor (PKPD Amanjaya, Sungai Petani) berlaku peningkatan kes positif kerana ada kumpulan tertentu yang tidak melalui PKOB Kuala Muda. Mereka bergerak sendiri dan berlakunya pergerakan yang menjadi punca kepada peningkatan kes baharu.

"Kami mengalu-alukan NGO memberi sumbangan di Kota Setar ini tetapi melalui PKOB Kota Setar. Kita tidak mahu mereka menyampaikannya tanpa kawalan," katanya pada sidang akhbar selepas penyampaian sumbangan berjumlah RM63,556 daripada Pas Kedah kepada PKOB Kota Setar hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam melaporkan terdapat 13 kes baharu Covid-19 di PKPD Amanjaya melibatkan Kluster Tawar hasil saringan kedua yang dijalankan.

Tempoh PKPD pentadbiran Zon Melor dilanjutkan sehingga 27 September manakala bagi Zon Kenanga dan Zon Mawar ditamatkan semalam.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, bagi penduduk Kota Setar yang terjejas sepanjang tempoh PKPD pentadbiran perlu menghubungi PKOB di talian 04-7028070 yang berada di bawah seliaan Pejabat Daerah Kota Setar.

Menurutnya, agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Ikatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan menguruskan penghantaran makanan.

"Penduduk Daerah Kota Setar ada 366, 787 orang membabitkan 28 mukim dan sukar untuk kami mengesan kesemua mereka. Bagi yang terjejas perlu memaklumkan kepada PKOB melalui panggilan telefon.

"Kita akan uruskan penghantaran makanan mereka. Setakat ini sudah 20 panggilan diterima dan proses penghantaran bekalan makanan dilakukan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!