X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan tegas pertahan hak kedaulatan di Laut China Selatan

Laut China Selatan - Foto AFP
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tegas dalam soal mempertahankan keutuhan wilayah, kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara termasuk di kawasan di Laut China Selatan dengan melakukan rondaan dan pemantauan oleh agensi penguat kuasa berkaitan.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, bagaimanapun pada masa sama kerajaan turut mengambil pendekatan berhati-hati untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan insiden yang tidak diingini berlaku di perairan negara itu.

“Semasa Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean pada 9 hingga 12 September lalu, kerajaan sekali lagi telah menegaskan pendirian Malaysia terhadap Laut China Selatan dan isu ini perlu diselesaikan secara damai menerusi pendekatan diplomatik selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk T Mohan mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan dalam membendung pencerobohan berterusan tentera laut dan agensi penguat kuasa maritim China di kawasan perairan negara pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Kamarudin menjelaskan kehadiran dan jumlah kapal perang yang banyak dalam satu-satu kawasan maritim seperti di Laut China Selatan berpotensi meningkatkan ketegangan dan mengancam keamanan, keselamatan dan kestabilan negara.

“Perkara ini telah disuarakan di peringkat serantau dan antarabangsa, kerajaan telah mengambil pendekatan diplomasi dengan negara yang berkaitan dan Malaysia menegaskan Laut China Selatan mesti kekal sebagai laluan perdagangan dan perairan yang aman,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, negara juga akan memastikan Kod Tata Laku (COC) di Laut China Selatan yang akan muktamadkan kelak antara negara-negara Asean dan China akan dipatuhi untuk memastikan kedaulatan dan hak kedaulatan negara terus terpelihara. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!