X

Kindly register in order to view this article
!

36 kerbau Mowgli Malaysia mati bergelimpangan

Muhammad Syukur melihat kerbau peliharaan bapanya yang ditemui mati secara berperingkat sejak Rabu lalu di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU – [DIKEMASKINI] Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ dikejutkan dengan kematian 36 kerbau peliharaan keluarganya di Kampung Banggol Katong, Serada, di sini secara berperingkat sejak Rabu lalu.

Sehingga tengah hari ini, dilaporkan kira-kira 36 ekor haiwan ternakan itu mati dengan 11 ekor kerbau ditemui mati bergelimpangan pagi ini, melibatkan kerugian lebih RM200,000.

Difahamkan, punca kematian kerbau berkenaan dipercayai akibat penyakit hawar berdarah.

Antara kerbau yang ditemui mati
Antara kerbau yang ditemui mati

Syukur ketika ditemui berkata, kejadian itu mula disedari dengan kematian seekor kerbau peliharaannya disusuli beberapa ekor lagi.

"Pada mulanya saya ingatkan ternakan saya hanya mengalami keracunan atau penyakit biasa, tapi jadi semakin pelik sebab ia makin bertambah, termasuk 11 ekor pada hari ini sahaja.

"Melihatkan keadaan kerbau yang ada, ada lebih lima ekor yang dalam keadaan tidak sihat dan mungkin akan mati kerana sebab yang sama.

"Kerbau kesayangan saya iaitu Samek dan Along setakat ini masih dalam keadaan baik dan sudah disuntik vaksin pencegahan," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Khamis Jusoh
Khamis Jusoh

Sementara itu, ayahnya, Khamis Jusoh, 64, berkata, kejadian itu amat menyedihkan mereka sekeluarga memandangkan ia kali pertama berlaku.

Menurutnya, mereka sekeluarga telah menternak kerbau sejak 50 tahun lalu.

"Rasa sedih memang tak dapat dibendung, sebab terlalu banyak kerbau yang mati. Kalau diikutkan seekor kerbau berharga antara RM3,000 ke RM7,000. Kerugian dianggarkan lebih RM200,000," katanya.

Jelas Khamis, kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu sudah datang dan membuat siasatan punca kematian semua kerbau itu pada hari Sabtu dan Ahad.

"Berkemungkinan besar ia mati kerana penyakit hawar berdarah, bagaimanapun keputusan ke atas pemeriksaan itu akan diperolehi dua minggu lagi," katanya.

Muhammad Syukur melihat kerbau peliharaan bapanya yang ditemui mati secara berperingkat sejak Rabu lalu di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu hari ini.
Muhammad Syukur melihat kerbau peliharaan bapanya yang ditemui mati secara berperingkat sejak Rabu lalu di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu hari ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!