Pembantu tadbir pejabat kadi didakwa buat tuntutan palsu

Tertuduh (tengah) yang didakwa membuat tuntutan palsu dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
Tertuduh (tengah) yang didakwa membuat tuntutan palsu dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang pembantu tadbir Pejabat Kadi Daerah Kluang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 21 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM16,800 pada lima tahun lalu.

Tertuduh Norlizah Mohd Jani, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa memberikan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu iaitu Borang Tuntutan Saguhati Mengajar di bawah Rancangan Kelas Takmir Masjid dan Surau.

Dokumen terbabit dikemukakan sejak Januari 2015 sehingga September 2016 dengan jumlah RM16,800 sedangkan aktiviti tersebut tidak dijalankan dan tertuduh tidak mempunyai tauliah mengajar dan menerima elaun sebagai guru takmir.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin manakala tertuduh diwakili peguam bela, Salahudin Tugiman.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkannya untuk melaporkan di Pejabat SPRM pada setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Oktober ini.