Pas tetap gerakkan jentera walau tidak bertanding di Sabah

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengumumkan parti itu akan tetap menggerakkan jentera pilihan raya atas kapasiti tidak bertanding untuk memastikan semua pengundi keluar menyokong calon Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut selaras dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menjelaskan bahawa Pas tidak bertanding dan memberikan laluan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

"Muktamar Pas yang berlangsung pada 13 September secara konsensus bersetuju ia bukan bermakna Pas akan bersara daripada politik Sabah, sebaliknya ia sementara sahaja.

"Sehubungan itu, Pas Sabah dibantu oleh Pas Malaysia akan tetap menggerakkan jentera pilihan raya atas kapasiti ‘tidak bertanding’, namun akan memastikan semua pengundi Pas keluar mengundi bagi menyokong calon PN dan BN," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Abdul Hadi berkata, parti itu menghormati sikap rakan-rakan di Sabah yang berhasrat bertanding di keseluruhan 73 kerusi di Sabah setelah usaha rundingan dimuktamadkan.

Menurutnya, ia bagi memastikan pertandingan dua penjuru dapat diserlahkan dalam PRN Sabah demi memelihara permuafakatan terjalin serta mengambil kira implikasi politik pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, langkah yang diambil oleh Pas bertujuan untuk menjayakan hasrat semua parti pembangkang di Sabah bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang akan menguntungkan pihak lain pada PRN tersebut.

"Ia dibuat setelah Pas mengadakan perbincangan hati ke hati atas konsep solidariti pembangkang antara semua parti-parti yang ada di Sabah iaitu BN, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Progresif Sabah (SAPP)," katanya.

Artikel Berkaitan: