Manzoor Azwira tabik karakter Harimau Kumbang

Pemain import Pulau Pinang, Casagrande (kanan) berusaha melepasi kawalan pemain import JDT II, Liridon Krasniqi pada aksi di Larkin. -Foto FB: Johor Southern Tigers
Pemain import Pulau Pinang, Casagrande (kanan) berusaha melepasi kawalan pemain import JDT II, Liridon Krasniqi pada aksi di Larkin. -Foto FB: Johor Southern Tigers
A
A
A

KETUA Jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abd Wahid menyifatkan kejayaan menewaskan JDT II 2-1 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos Larkin kelmarin sebagai satu kemenangan luar biasa.

Manzoor Azwira berkata, kemenangan itu diharap dapat menyemarakkan lagi semangat kesebelasan skuad Harimau Kumbang berkenaan untuk mengharungi baki empat perlawanan Liga Premier kali ini dan seterusnya layak untuk beraksi dalam saingan CIMB Liga Super 2021.

“Syukur alhamdulillah, kita dapat tiga mata yang luar biasa di Larkin. JDT II memang kelab yang hebat dan kita agak sukar menamatkan perlawanan malam ini.

“Beraksi di padang yang agak licin juga dilihat menjejaskan permainan kami khususnya pada jentera serangan yang dilihat kurang meyakinkan.

“Bagaimanapun, kita berjaya memanfaatkan peluang dan seterusnya menjaringkan gol pembukaan pada awal perlawanan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan kelmarin.

Untuk rekod, pelawat mengejutkan tuan rumah apabila Muhammad Khairul Azrin Khazali membuka jaringan seawal minit keempat, namun kelebihan itu dipadamkan pemain JDT II, Muhamad Feroz Baharudin.

Pelawat sekali lagi mengejutkan tuan rumah apabila pemain importnya, Endrick Dos Santos Prafita menjaringkan gol kedua Pulau Pinang yang juga menjadi gol kemenangan skuad Haria Penang Haria itu.

Sementara itu, Manzoor Azwira berkata, biarpun bakal beraksi tanpa penonton ketika berdepan Kuala Lumpur di Stadium Bandaraya, 19 September ini, namun dia tetap gembira dengan sokongan yang diterimanya menerusi media sosial.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, pertembungan dua pasukan teratas Liga Premier itu pasti akan menarik sokongan daripada kedua-dua pasukan khususnya menerusi media-media sosial.

“Ketiadaan penonton menjadikan tiada aura daripada penyokong, tetapi saya tahu penyokong memberikan sokongan menerusi media sosial.

“Oleh itu, kita memerlukan perancangan taktikal yang betul bagi berdepan Kuala Lumpur di gelanggang sendiri demi menjamin tiga mata yang cukup berharga,” katanya.