X

Kindly register in order to view this article
!

King maker penyatuan Melayu-Islam

Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-66 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa. -Foto Bernama
A
A

MUKTAMAR Tahunan Pas ke-66 kali ini dilihat menjadi platform kepada Pas untuk memperkukuhkan lagi peranan menjadi magnet penyatuan ummah dalam kalangan parti Melayu-Islam di Malaysia di bawah gagasan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

Isu perpaduan yang diangkat sebagai tema dalam ucapan dasar Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika merasmikan muktamar itu di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik), Kota Bharu kelmarin jelas memberi cerminan bahawa parti itu memberi keutamaan untuk memulihkan silaturahim Melayu-Islam di negara ini yang sebelum ini berpecah mengikut ideologi politik.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, untuk memperteguhkan peranan sebagai magnet penyatuan itu, Pas dilihat berusaha menyatukan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi ikatan atau siasah silaturahim.

Menurutnya, disebabkan perkara itu, Pas tidak menjadi parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) sebaliknya menjadi komponen dalam PN dan turut bekerjasama dengan UMNO dan Bersatu melalui MN.

“Pas ketika ini cuba mengangkat siasah silaturahim demi memastikan parti Melayu-Islam yang utama di negara ini dapat bergabung menjadi satu kuasa politik Melayu-Islam yang besar tanpa meminggirkan bukan Islam.

“Ini juga satu revolusi Pas yang baharu. Usaha ini sekali gus menterjemahkan peranan Pas sebagai king maker demi kepentingan politik Melayu-Islam,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peranan sebagai king maker itu juga seiring dengan impian pimpinan Pas termasuk Abdul Hadi dalam membentuk dan menggilap Pas menjadi sebuah parti yang ‘mahal’ dan menjadi rebutan parti lain untuk menjalinkan kerjasama.

Kata beliau, menerusi muktamar yang berlangsung itu, Pas boleh dikatakan mendapat mandat daripada ahli dan penyokongnya untuk terus berada dalam MN dan PN ekoran peranan yang dimainkan Abdul Hadi sendiri dalam memberi keyakinan dan memupuk kepercayaan ahli Pas terhadap dua gagasan tersebut.Kata sepakat

Muktamar Pas ke-66 meluluskan lapan usul untuk kebaikan semua pihak termasuk negara dan agama.
Muktamar Pas ke-66 meluluskan lapan usul untuk kebaikan semua pihak termasuk negara dan agama.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UITM), Dr Ariff Aizuddin Azlan juga senada dengan Md Shukri apabila berpendapat muktamar tahunan Pas kali ini memberi penekanan kepada agenda penyatuan ummah dan memperkasakan Islam.

Selain itu, katanya, ia turut melibatkan perbahasan jumlah kerusi yang akan ditandingi dalam PRU15 yang dilihat sebagai satu perkara yang kritikal.

“Muktamar kali ini kita lihat pimpinan Pas memberi tumpuan tentang sejauh manakah agenda yang melibatkan penyatuan antara Pas dan UMNO boleh memberikan implikasi yang besar terhadap masa depan orang Melayu di Malaysia ini.

“Kalau sebelum ini agenda sama dibincangkan seperti Islam, tetapi kali ini melibatkan kerjasama yang terbentuk dan prestasi Pas sendiri terutama dalam menghadapi PRU15 akan datang,” katanya.

Beliau menjelaskan, isu pembahagian kerusi dianggap kritikal lebih-lebih lagi selepas pengumuman calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Pas tidak diberikan sebarang kerusi.

“Bagi situasi sekarang tidak sekritikal seperti mana sebelum-sebelum ini. Contoh kita lihat beberapa tahun lepas, ada pemimpin dalam Pas keluar daripada parti dan mereka membentuk Parti Amanah Negara (Amanah) kerana tidak bersetuju dengan keputusan politik pucuk pimpinan parti.

“Tetapi pada hari ini saya tidak nampak penerimaan terhadap penyatuan UMNO dan Pas itu sebagai satu masalah besar. Memang kita ada dengar ada suara tidak puas hati terhadap penyatuan ini tetapi ia adalah satu benda yang tidak melibatkan penghijrahan besar-besaran,” katanya.

Katanya, rata-rata ahli akar umbi juga sudah melihat agenda penyatuan Melayu-Islam itu sebagai satu usaha untuk memperkukuhkan prestasi Pas untuk memenuhkan orang Melayu-Islam di dalam Parlimen.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor mengakui bahawa dalam muktamar tahunan kali ini, Pas mencapai kata sepakat untuk memberi tumpuan memperkukuhkan permuafakatan politik yang terbentuk.

Pentas utama yang mengumpulkan semua kepimpinan tertinggi Pas dalam muktamar.
Pentas utama yang mengumpulkan semua kepimpinan tertinggi Pas dalam muktamar.

“Muktamar kali ke-66 ini juga dalam kondisi Pas kali kedua menjadi rakan kongsi pentadbiran kerajaan Persekutuan dan menguasai tiga buah negeri ‘jantung hati’ orang Melayu. Pimpinan Pas berada di pentas utama. Ada yang menggalas jawatan Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan jawatan strategik dalam memposisikan Pas sebagai pemain politik yang mempunyai variasi pengalaman.

Semangat“Pas dengan keahlian yang pelbagai, juga dengan jalur berfikir yang rencam maka perbezaan pandangan bukanlah satu perkara yang pelik. Ditambah dengan fenomena budaya media sosial yang membuka ruang kritikan, ruang argumen seluas mungkin, maka Pas menjadi subjek popular yang dibincangkan sama ada positif atau negatif,” katanya.

Mengulas lebih terperinci mengenai perjalanan muktamar kali ini, beliau berkata, simbahan indah cahaya keperakan pada pagi perasmian muktamar itu menghantar isyarat bahawa parti Islam yang berusia 69 tahun itu akan menjadi sebagai pemain utama dalam politik tanah air ini.

“Di tengah keriuhan PRN Sabah, juga dengan jerebu pandemik Covid-19, muktamar berjalan tanpa pemerhati luar. Segalanya menjadi asing bagi kita ahli Pas kerana muktamar biasanya seperti hari raya bagi kita semua.

“Jumlah petugas juga terhad, anggota Jabatan Amal mengecil, saringan kesihatan dibuat rapi agar tak muncul pasca muktamar ini ‘kluster muktamar’ yang akan dijadikan bahan untuk mentertawakan Pas.

“Bagaimanapun, himpunan ratusan pimpinan Pas pelbagai peringkat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), Pengkalan Chepa penuh dengan lonjakan semangat yang menggebu untuk melihat daripada dekat perjalanan acara tahunan yang paling berprestij ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pemuda Pas, Ir Khairul Nizam Khirudin berkata, muktamar itu menyaksikan perwakilan memahami tentang gagasan MN dan PN dan bersedia untuk memberi komitmen dalam PRU15.

“Fokus kita untuk memperkasakan hubungan muafakat. Dengan tema ‘Islam memperkukuh perpaduan’ ia sudah jelas memberi gambaran bahawa kita akan mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!