Puji semangat melawan Lang Merah

Aksi bertenaga Kipre ketika bersaing dengan pemain Felda United pada aksi CIMB Liga Super di Jengka. -Foto: FA Kedah
Aksi bertenaga Kipre ketika bersaing dengan pemain Felda United pada aksi CIMB Liga Super di Jengka. -Foto: FA Kedah
A
A
A

PENGENDALI Kedah, Aidil Sharin Sahak berbangga kebangkitan anak didiknya hingga berjaya menewaskan Felda United 2-1 walaupun ketinggalan satu gol pada babak pertama aksi CIMB Liga Super di Stadium Felda United, Jengka kelmarin.

Menurut Aidil Sharin, kejayaan itu cukup bermakna buat skuad Lang Merah bagi mengharungi baki empat perlawanan selepas ini.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan prestasi kesemua pemain pada perlawanan ini walaupun ketinggalan satu gol tetapi mereka tetap beraksi penuh semangat untuk bangkit.

“Pada separuh masa kedua, saya buat sedikit pertukaran pemain dan hasilnya kita berjaya mendapatkan gol penyamaan hanya selepas tiga minit permainan bersambung.

“Gol itulah yang membuatkan pasukan kita lebih bersemangat sehingga menjaringkan gol kedua selepas itu dan ia menjadi gol kemenangan kita,” katanya.

Pada perlawanan itu, Felda United mengejutkan pelawat apabila Muhammad Syahmi Zamri menjaringkan gol pada minit ke-44.

Bagaimanapun Kedah hanya memerlukan tiga minit selepas perlawanan bersambung bagi menjaringkan gol penyamaan menerusi penyerang import Tchetche Kipre sebelum Hadin Azman menjaringkan gol kedua pada minit ke-66 yang sekali gus menjadi gol kemenangan pelawat.

Sementara itu, Aidil Sharin berkata, aksi berdepan skuad The Fighters itu sememangnya sentiasa sukar berikutan kebanyakan pemainnya adalah pemain muda yang disifatkannya cukup berbakat untuk diketengahkan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Aidil Sharin tetap memberikan kredit kepada kesebelasan Lang Merah yang telah memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu dan seterusnya menghasilkan kejayaan berkenaan.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan komitmen daripada semua pemain. Cuma mulai sekarang, kesemua pemain diharap dapat memberikan fokus untuk berdepan Sabah di Stadium Darul Aman, 19 September ini,” katanya.