Lepas Mira Filzah, kita tunggu Neelofa pula

No Image Caption
A
A
A

SEPANJANG minggu lalu banyak cerita tergempar yang menjadi bualan masyarakat, berita utama di media arus perdana dan media sosial.

Isu rakyat Selangor terkesan akibat tiga hari terputus bekalan air, Pilihan Raya Negeri Sabah dan satu lagi cerita yang mencuri perhatian adalah perkahwinan ‘Bidadari Kiriman Tuhan’ – Mira Filzah.

Pelakon dan pengacara berhijab yang turut berada dalam senarai wanita idaman Malaya itu mengakhiri kehidupan single dengan memilih jejaka bernama Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar sebagai pasangan hidupnya pada 3 September lalu.

Kisah perkahwinan Mira Filzah dan Wan Emir yang boleh dianggap wedding of the year itu memahat pelbagai kisah; kisah suka bagi peminat setia Mira dan khabar duka bagi ramai pemuja senyap aktres cantik manis itu!

Khabarnya ramai pemuja senyap itu kecewa, sedih dan gigit jari kerana akhirnya hati Mira Filzah berjaya dimiliki oleh seorang arkitek.

Mereka yang kecewa itu dengar ceritanya bukan lelaki bujang sahaja tetapi suami orang yang berangan mahu pasang nombor dua, tiga dan empat pun ada.

Tak kurang juga yang sudah unfollow Instagram, Twitter atau Facebook Mira Filzah dek kerana patah hati.

Menariknya, perkenalan Mira Filzah dan Wan Emir bukannya bermula sebagai kawan, rakan atau sahabat yang sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan:

Semuanya bermula daripada tekad Wan Emir yang mahu memiliki hati seorang selebriti pujaan ramai.

Jejaka itu tidak pernah berputus asa untuk mencuba. Mulanya Direct Message (DM) di Instagram, kemudian membuat ciapan di Twitter Mira Filzah. Biarpun banyak kali tidak dibalas, dia tetap tak mengalah.

Akhirnya ALLAH membuka hati Mira Filzah untuk membalas ‘tepuk tangan’ Wan Emir dan bermulalah kisah percintaan mereka.

Jodoh

Mungkin kesungguhan usaha dan tekad Wan Emir itu boleh diteladani. Bukan hanya mengejar impian cinta tetapi juga boleh dipraktikkan untuk mengejar cita-cita.

Bak kata pepatah ‘hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’, jika kita memasang keinginan, menetapkan sasaran dan mahu mencapai kejayaan; kata kuncinya adalah berusaha dan terus berusaha tanpa jemu.

Insya-ALLAH berkat usaha, doa dan tawakal, semua akan jadi kenyataan.

Habis episod cinta dan perkahwinan Mira Filzah dan Wan Emir. Barangkali kisah akan datang yang ditunggu-tunggu; siapakah jodoh Neelofa?

Gadis kelahiran Pasir Mas, Kelantan dan bekas Juara Dewi Remaja 2009/2010 itu pantas mencipta nama dalam dunia lakonan, pengacaraan serta perniagaan.

Kisah cinta dan perkahwinan selebriti yang membina empayar perniagaan bermula dengan tudung, kosmetik dan terkini, Susu Pisang Nilofa itu pastinya dinantikan ramai orang.

Jejaka, suami orang, ahli perniagaan dan kerabat diraja mungkin ramai yang sudah lama mengintai peluang untuk menjadi ‘khalifah’ dalam kehidupan Neelofa.

Siapakah yang menjadi pilihan hati Neelofa? Lelaki manakah yang bisa menambat hati Neelofa dan siapakah gerangan yang dipilih ALLAH untuk menjadi jodoh Neelofa?

Alangkah bertuahnya jejaka itu. Jawabnya, ramai lagi lelaki di Malaysia ini yang akan kecewa, frust menonggeng dan kempunan bila Neelofa berkahwin nanti.

Kita tunggu dan lihat sahaja.

*Mohd Hanafiah Hashim ialah Editor Kandungan Komersil Sinar Harian