Pas akan terus perjuangkan kebenaran

Hashim Jasin
Hashim Jasin
A
A
A

KOTA BHARU - Pas akan terus dengan perjuangan ke arah kebenaran sebagaimana yang diasaskan pucuk kepimpinan terdahulu ketika parti itu ditubuhkan.

Atas dasar tersebut, parti itu tidak teragak-agak untuk meninggalkan rakan sekutu yang melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kebenaran walaupun berstatus 'kawan baik'.

Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin semasa membuat penggulungan Muktamar Tahunan Pas ke-66 hari ini berkata, perkara tersebut disuarakan beliau sebagai orang lama dalam parti.

Menurutnya, sebelum ini Pas pernah berkawan dengan ramai orang, malah pernah berlawan dengan banyak pihak termasuk UMNO dan MCA.

Malah, katanya, Pas pernah bertanding 150 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu semata-mata untuk berlawan walaupun hilang deposit yang begitu banyak.

"Namun begitu, dalam soal berkawan dan melawan, kita ada kaedahnya. Kita berkawan dan selepas itu kita lawan dan kita lawan, selepas itu kita berkawan. Ini prinsip yang kita pegang.

"Kerana itu, kalau hari ini orang nampak Pas ini baik, ini sebab wa'la yang tinggi. Jadi lebih baik. Lebih-lebih lagi dengan yang pernah berkawan dan berlawan dengan kita.

"Pepatah arab mengatakan 'engkau kawan aku, aku berkawan'. Kebenaran juga kawan aku. Aku berkawan dengan kebenaran. Jika kamu bertembung dengan kebenaran, pada ketika itu aku tetap bersama dengan kebenaran dan aku akan tinggal kamu.

Artikel Berkaitan:

"Kita baik kerana dia ikut kebenaran. Kebenaran itu daripada ALLAH. Kalau dalam kita sedang berkawan ini, kamu buat sesuatu yang bercanggah dengan syariat ALLAH, pada ketika itu kita tidak kira siapa, kita akan tinggal kawan itu. Dan saya bukan bagi amaran, saya nak cakap sajalah," katanya sambil disambut laungan takbir daripada peserta muktamar.

Hashim berkata, pegangan tersebut bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama diamalkan dan ia akan berterusan sehingga hari kiamat.