47 kes baharu Covid-19, tiada kluster baharu

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes baharu Covid-19 kekal dua digit dengan 47 kes dilaporkan membabitkan 45 kes penularan tempatan dan dua kes import hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah penularan tempatan 28 kes adalah warganegara dan 17 kes bukan warganegara, manakala kes import melibatkan dua kes bukan warganegara dari Maldives (satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Maghribi (satu kes di Selangor).

Jelasnya jumlah kumulatif kes positif Covid-19 adalah 9,915 kes dan jumlah kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 ialah 591 kes.

"Sehingga kini terdapat sembilan kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Terdapat tujuh kes pulih dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah sebanyak 9,196 kes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau tiada pertambahan kes kematian menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu kekal 128 kes.

Sementara itu, mengenai perincian Kluster Benteng Lahad Datu di Sabah, Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 4,666 orang telah disaring dan terdapat 22 kes baharu telah dikesan positif Covid-19 di Tawau hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kluster itu 403 kes.

"Seramai 3,408 orang disaring, 315 kes dikesan positif Covid-19 di Tawau manakala 1,258 telah disaring di daerah Lahad Datu dengan 88 kes dikesan positif Covid-19 namun tiada penambahan kes baharu hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Kluster itu melibatkan 383 banduan dikesan positif Covid-19, dua kakitangan dikesan positif, tiga kontak ahli keluarga kakitangan dan banduan turut dikesan positif; sementara tiada pegawai agensi kerajaan lain dikesan positif, manakala 15 kontak sosial dikesan positif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah 403 kes positif kluster itu, 176 adalah dalam kalangan warganegara sementara 227 adalah bukan warganegara melibatkan Filipina (152 kes) dan Indonesia (75 kes).

Kluster Tawar di Kedah pula mencatatkan pertambahan 13 kes baharu pada hari ini membabitkan 18,233 orang disaring termasuk 649 petugas kesihatan.

Dr Noor Hisham berkata, bagi Kluster Tawar kesemua kes baharu itu dikesan di Kedah menjadikan jumlah keseluruhan 81 kes dan 17,578 individu negatif.

Memperincikan bagi Kluster Sungai pula, beliau berkata, sejumlah 14,044 individu disaring dan hanya satu kes baharu dikesan positif di Kedah hari ini. - Bernama