Maduro tolak kata dua Eropah

Nicolas Maduro
Nicolas Maduro
A
A
A

CARACAS - VENEZUELA. Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, semalam menolak kata dua diberikan Eropah yang mendesak pemimpin itu mengadakan pilihan raya selepas pembangkang, Juan Guaido meningkatkan gesaan terhadap tentera supaya berpaling tadah kepada kerajaan berhaluan kiri.

"Mereka sepatutnya menarik balik ultimatum tersebut. Tiada siapa boleh beri kami kata dua. Venezuela tidak terikat dengan Eropah. Ini sememangnya tindakan biadab," katanya menerusi wawancara bersama CNN Turk.

Beliau turut menyifatkan tindakan negara Eropah itu sebagai satu kesilapan.

Maduro kemudiannya menghadiri latihan ketenteraan di Carabobo di mana pemimpin terbabit menggesa semua pihak bersatu untuk menewaskan cubaan rampasan kuasa.

Penolakan itu dibuat selepas Sepanyol, Perancis, Netherlands dan Jerman pada Sabtu memaklumkan mereka akan mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara melainkan Maduro mengadakan pilihan raya dalam tempoh lapan hari.

Australia turut mengikut jejak langkah negara Eropah untuk menzahirkan sokongan terhadap Guaido.

Sementara itu, Amerika Syarikat secara berasingan memberi amaran terhadap 'tindak balas tegas' jika diplomat Washington, Guaido atau pembangkang yang menguasai Perhimpunan Kebangsaan menjadi sasaran keganasan dan ugutan. - AFP

Artikel Berkaitan: