PNB penuhi impian pelajar cemerlang lanjut pelajaran

Ahmad Zulqarnain (belakang, tengah) bersama Pengurusan Kanan PNB bergambar kenangan bersama para pelajar di Majlis Pra-Keberangkatan penerima Anugerah Biasiswa PNB kumpulan ke-22.
Ahmad Zulqarnain (belakang, tengah) bersama Pengurusan Kanan PNB bergambar kenangan bersama para pelajar di Majlis Pra-Keberangkatan penerima Anugerah Biasiswa PNB kumpulan ke-22.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Berhad (PNB) terus komited menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi kepada pelajar cemerlang bagi membangunkan tenaga kerja mahir dan membina barisan pemimpin masa depan.

Terbaharu, seramai 23 penerima Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB dan tiga penerima Anugerah Biasiswa Perdana Yayasan Tun Ismail Mohamed Ali (YTI) diraikan dalam satu majlis di sini semalam.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata, kesemua pelajar berkenaan bakal melanjutkan pelajaran peringkat sarjana muda di beberapa buah universiti terkemuka di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Menurutnya, mereka yang juga pelajar kumpulan ke-22 pengambilan tahun 2018 mengikuti pengajian persediaan di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) di Lembah Beringin, Perak selama dua tahun dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan A-Level masing-masing.

"Inisiatif PNB di bawah teras pendidikan ini bertujuan menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti tinggi kepada pelajar cemerlang bagi membangunkan tenaga kerja mahir untuk menyokong pertumbuhan PNB di masa hadapan.

"Inisiatif ini juga mendukung hasrat untuk membina barisan pemimpin masa depan yang berkaliber untuk PNB dan juga negara," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, menerusi biasiswa itu PNB berbesar hati dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk mencapai matlamat pendidikan dan cita-cita hidup mereka

Sementara itu, salah seorang penerima biasiswa, bekas pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam, Mohamed Aqil Azmi terpilih untuk melanjutkan pelajaran di Harvard College, Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Aqil Azmi
Mohamed Aqil Azmi

Mohamed Aqil berkata, dia yang akan menyambung pelajaran dalam bidang Matematik dan Falsafah melahirkan rasa syukur atas kejayaan mendapat tempat di universiti berprestij ini bersama pelajar-pelajar pintar lain dari seluruh dunia.

“Penat lelah saya selama ini membuahkan hasil. Selain usaha yang bersungguh-sungguh, doa dan restu ibu bapa turut mengiringi kejayaan ini.

"Saya berterima kasih kepada PNB kerana memberi peluang dan memudahkan perjalanan saya untuk mencapai matlamat pendidikan tinggi dan impian saya.

"Saya bertekad untuk membalas jasa dan menyumbang kepada PNB dengan ilmu yang diperoleh setelah tamat belajar kelak,” katanya.

Seorang lagi penerima biasiswa, Muhammad Taufiq Afifi Saidi, yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kota Putra, Besut, Terengganu, berkata, usaha tekun berterusan serta dorongan dari keluarga selama ini membuahkan hasil apabila ditawarkan untuk mengikuti pengajian dalam bidang ekonomi di London School of Economics and Political Science, United Kingdom.

Muhammad Taufiq Afifi Saidi
Muhammad Taufiq Afifi Saidi

"Saya dan keluarga bersyukur kerana biasiswa PNB akan menampung segala kos pengajian dan sara hidup, apatah lagi di Kota London yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Insya Allah, saya akan menggunakan peluang ini sebaiknya," katanya.

Bagi bekas pelajar MRSM Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka, Amira A’lya Shaharim pula dia memilih untuk mengikuti pengajian Kejuruteraan Awam di Universiti College London, United Kingdom, kerana percaya bidang ini mempunyai prospek yang cerah untuk kerjaya masa depannya.

Amira A’lya Shaharim
Amira A’lya Shaharim

"Saya berjanji tidak akan mensia-siakan peluang yang diperoleh ini kerana saya tahu ramai lagi rakan sebaya cemerlang lain yang ingin mendapatkan peluang yang sama,"katanya.

Turut akan mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan adalah bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama, Petaling Jaya, Afiq Nor Kamil di University of Manchester, United Kingdom.

Afiq Nor Kamil
Afiq Nor Kamil

"Saya bersyukur dan berbangga kerana mendapat tajaan PNB yang merupakan organisasi pelaburan utama negara. Saya juga gembira selain mendapat tajaan, saya akan berpeluang berkhidmat dengan PNB setelah lulus pengajian nanti,” katanya.

Sejak dilancarkan, Anugerah Biasiswa Luar Negara PNB (1996) dan Anugerah Biasiswa Perdana YTI (2000) telah menaja seramai 425 pemegang biasiswa PNB dengan nilai biasiswa berjumlah hampir RM159 juta.

Selain daripada teras Pendidikan, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) PNB juga menumpukan tiga lagi teras iaitu Literasi Kewangan (Financial Literacy), Pembangunan Komuniti (Community Upliftment) dan Inisiatif Perkongsian Ilmu (Knowledge Sharing Initiative) yang bertujuan untuk memenuhi keperluan komuniti dan masyarakat dalam usaha PNB untuk mencipta nilai sosial bersama.

Ahmad Zulqarnain (dua dari kiri) berkongsi pengalaman beliau menuntut di Harvard bersama Mohamed Aqil, pelajar tajaan PNB yang pertama mendapat tempat di universiti berprestij tersebut sambil diperhatikan oleh Pengurusan Kanan PNB dan pelajar lain.
Ahmad Zulqarnain (dua dari kiri) berkongsi pengalaman beliau menuntut di Harvard bersama Mohamed Aqil, pelajar tajaan PNB yang pertama mendapat tempat di universiti berprestij tersebut sambil diperhatikan oleh Pengurusan Kanan PNB dan pelajar lain.