Maqis rampas bulu biri-biri bernilai RM330,289

Pihak Maqis melakukan pemeriksaan sebuah kontena yang membawa bulu biri-biri di PTP, Gelang Patah, Iskandar Puteri semalam.
Pihak Maqis melakukan pemeriksaan sebuah kontena yang membawa bulu biri-biri di PTP, Gelang Patah, Iskandar Puteri semalam.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor menahan dua buah kontena dari Jerman yang membawa bulu biri-biri di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah dekat sini semalam.

Pengarah Maqis Johor, Nur Afifah A Rahman berkata, pemeriksaan pada jam 3 petang yang dijalankan Pegawai Penguat kuasa Maqis PTP ke atas dua kontena menemui 39,586 kilogram (kg) bulu biri-biri dianggarkan bernilai RM330,289.

"Dagangan tersebut dibawa masuk untuk diproses di Malaysia dan dieksport semula.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bulu biri-biri tersebut tidak mematuhi syarat import seperti mana dinyatakan dalam permit Maqis iaitu bulu biri-biri tersebut tidak menjalani rawatan yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, seorang pemandu lori kontena berusia 40 tahun disoal siasat.

"Semua bulu biri-biri tersebut ditahan dan disita pihak Maqis untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika disabitkan kesalahan, pengimport boleh didakwa di bawah Seksyen 15(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, beliau berkata, akan didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya di bawah Akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pihak Maqis katanya, sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar serta mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan.