Langgar SOP: 294 ditahan berhibur di kelab malam

Ismail Sabri Yaakub
Ismail Sabri Yaakub
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti di pub dan kelab malam adalah kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tertinggi semalam apabila sebanyak 294 kes direkodkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jumlah itu membabitkan 512 individu ditahan polis.

"Antara kesalahan lain ialah penganjuran aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (103), 'private party' atau pesta persendirian (56), gagal menyediakan peralatan atau catitan keluar masuk (32), tidak memakai pelitup muka (14) dan premis beroperasi lebih masa (lapan).

“Daripada jumlah yang ditahan, 452 individu dikompaun, 59 individu direman dan seorang dijamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua pusat hiburan diserbu, 124 ditahan ingkar PKPP

Dalam pada itu, menurutnya, pihak berkuasa berjaya menangkap 80 pendatang asing tanpa izin (PATI), enam penyeludup dan seorang tekong melibatkan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri yang sah melalui Operasi Benteng.

"Sebanyak 82 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam melibatkan anggota polis (57), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (10) dan Angkatan Tentera Malaysia (15)," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 28,063 rakyat Malaysia pulang ke tanah air dari 32 negara melalui pintu masuk sempadan antarabangsa bagi tempoh 24 Julai lalu hingga semalam.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah itu, seramai 10,187 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib di 69 hotel dan lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam dan institusi pengajian swasta manakala 69 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.

“Seramai 17,807 individu sudah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya. - Bernama