Kurangkan retorik, pemimpin perlu bekerjasama untuk rakyat

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Pemimpin di peringkat negeri atau persekutuan perlu mengurangkan retorik sebaliknya memastikan sebarang tindakan yang diambil atau dilaksanakan adalah bertepatan dengan aspirasi masa depan rakyat di negara ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat perubahan dalam arena politik negara ketika ini yang dilihat mungkin merisaukan rakyat terutama dalam isu penyatuan parti-parti politik tertentu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Justeru perkara penting yang perlu kita fikirkan sekarang adalah mencari jalan bagi meneruskan keutamaan kita kepada pembangunan rakyat.

"Politik bukanlah hanya medan untuk merangkul kuasa semata-mata tetapi turut melibatkan perihal berkaitan pengurusan negeri dan negara," katanya melalui satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau.

Wan Rosdy berkata, semua pihak harus memperkuatkan iltizam terutama dalam memastikan nasib rakyat terbela di samping terus bersikap adil dan saksama kepada semua kaum di negara ini.

Tambah beliau, iltizam dan aspirasi itu perlu difikirkan dalam setiap keputusan yang dibuat agar tidak terjerumus lagi ke dalam kancah permasalahan politik seperti sebelum ini.

"Pada pada masa sama, kita juga perlu sedar bahawa dalam menghadapi perubahan norma baharu akibat daripada serangan pandemik koronavirus (Covid-19) ia turut memberikan impak besar terhadap pentadbiran negara.

"Dalam menghadapi ancaman ini dan juga menguruskan isu-isu lain, para pentadbir dan juga ahli-ahli politik perlu memastikan rakyat terus tenang dalam usaha menyesuaikan diri dengan arus semasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kini masanya untuk semua pihak mengurangkan retorik sebaliknya memikirkan jalan terbaik untuk memberikan khidmat kepada rakyat.

"Ia supaya kita dapat melakukan restorasi dalam kehidupan rakyat sekali gus membantu negara dalam meningkatkan prestasi semua sektor di peringkat domestik dan global," katanya.