Tujuh termasuk enam pemain Liga Juara-Juara AFC positif Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) telah mengesahkan sehingga kini, tujuh termasuk enam pemain Kejohanan Liga Juara-Juara AFC, Zon Barat musim ini telah diuji positif koronavirus (Covid-19).

AFC dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi memaklumkan, kesemua mereka didapati positif dalam ujian saringan yang dilakukan pihak berkuasa perubatan Qatar, semasa tiba untuk perlawanan peringkat kumpulan di Doha.

Mereka adalah lima pemain dan seorang anggota pengurusan pasukan juara bertahan Al Hilal Club, Arab Saudi dan seorang lagi merupakan pemain dari pasukan Qatar, Al Duhail.

“Semua keperluan perubatan dan sokongan yang bersesuaian telah diberikan kepada kedua-dua pasukan dan mereka yang diuji positif berada di bawah pengawasan perubatan dalam lingkungan kuarantin seperti yang ditetapkan sebagai protokol dan langkah-langkah keselamatan Covid-19 untuk kejohanan ini,” menurut AFC.

Setelah beberapa bulan ditangguhkan susulan pandemik Covid-19, pertandingan kelab terbaik Asia dijadualkan berlangsung pada Isnin di mana AFC sebelumnya menyatakan ia akan berlangsung di bawah peraturan kesihatan yang ketat untuk melindungi pemain dan pegawai dari wabak tersebut.

Perlawanan Zon Timur di mana Malaysia akan menjadi tuan rumah dijadualkan berlangsung dari 15 November hingga 13 Disember diikuti perlawanan akhir di Zon Barat pada 19 Disember untuk menentukan wakil Asia ke Piala Dunia Kelab FIFA.

AFC pada Khamis lepas mengumumkan pembatalan pertandingan peringkat kedua Piala AFC, Piala Solidariti AFC dan Kejohanan Kelab Futsal AFC Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2020, manakala kejohanan AFC Bawah 16 Tahun (B-16) dan AFC Bawah 19 Tahun (B-19), yang dijadualkan berlangsung di Bahrain dan Uzbekistan pada Oktober ditunda ke awal 2021. - Bernama

Artikel Berkaitan: