Perlu tambahan RM 21.6 juta ekoran Sukma 2020 ditangguhkan

Onn Hafiz
Onn Hafiz
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM21.6 juta selaku tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang ditangguhkan kepada tahun hadapan berikutan penularan wabak Covid-19.

Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan tambahan itu melibatkan perbelanjaan pengurusan bagi mengendalikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19.

"Tambahan ini diperlukan bagi keperluan peralatan tambahan di setiap venue sukan, penginapan dan pusat operasi Sukma bagi pematuhan SOP dan pencegahan Covid-19 yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Ini ekoran penganjuran temasya telah dianjakkan dari tarikh asal pada Julai tahun ini berikutan penularan jangkitan Covid-19. Ia juga akan digunakan untuk aktiviti promosi yang perlu dilaksanakan oleh Sekretariat Sukma Johor bagi terus mempromosikan temasya Sukma Johor," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail Kota Iskandar di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Mohd Khuzzan Abu Bakar (PH-Semerah) yang bertanyakan mengenai jumlah peruntukan pengurusan yang sudah digunakan sejak Mac lalu serta peruntukan tambahan berikutan tarikh penganjuran berkenaan dianjakkan kepada tahun hadapan.

Sementara itu, Onn Hafiz turut memberitahu bahawa jumlah peruntukan asal keseluruhan bagi penganjuran Sukma 2020 adalah sebanyak RM617.9 juta.

Beliau berkata, jumlah tersebut meliputi RM150 juta bagi kos pengurusan, manakala RM 467.9 juta pula diperuntukkan bagi pembangunan dan penambahbaikan venue infrastruktur.

"Tarikh baharu bagi Sukma Johor akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma dalam masa terdekat. Kita menjangkakan ia akan berlangsung pada awal tahun depan," katanya.

Artikel Berkaitan: