X

Kindly register in order to view this article
!

Klopp tabik aksi berkualiti

Virgil van Dijk penjaring gol kedua Liverpool ketika menentang Leeds United di Anfield.
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp menyifatkan kemenangan 4-3 ke atas Leeds United sebagai perlawanan hebat berkualiti kedua-dua kelab semasa Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali menyingkap tirai semalam.

Menurutnya, kedua-dua kelab itu telah pun mempamerkan kualiti permainan terbaik masing-masing dalam perlawanan di Stadium Anfield berkenaan.

“Perlawanan yang hebat, lawan yang hebat, prestasi yang hebat daripada kedua-dua pasukan cukup berkualiti untuk disaksikan, saya sangat menyukainya

“Sejujurnya sangat jarang dapat melihat jumlah jaringan yang banyak dalam satu permainan, kami perlu kembali memperbaiki bahagian pertahanan selepas ini biarpun menyedari bahawa perlawanan pertama bukan sesuatu yang mudah

“Pemain kami telah bermain beberapa hari lalu untuk negara masing-masing, mungkin ini antara punca kepada persembahan pada hari ini,” kata Klopp selepas menyaksikan The Reds mengekalkan rekod tanpa kalah liga kepada 60 perlawanan.

Pada aksi di laman sendiri itu, Leeds yang kembali ke saingan liga utama sejak 16 tahun lalu, nyata garang apabila bangkit ketinggalan tiga gol untuk mengikut penyandang juara sebelum penalti Mohamed Salah memastikan kemenangan pada minit ke-88.

Tambah Klopp, beliau mengakui kealpaan bahagian pertahanan Liverpool sememangnya dimanfaatkan skuad Marcelo Bielsa yang tampil dengan reputasi juara Liga Kejuaraan musim lalu.

“Lawan memaksa kami melakukan kesilapan walaupun sebenarnya kami boleh melakukan yang lebih baik. Apa pun kami akan melakukan yang lebih baik selepas ini tetapi saya sangat menyukai permainan menentang lawan yang teratur dan bersemangat seperti Leeds United.

“Kami menggunakan pengalaman dan kemahiran kami untuk kembali memberikan saingan kepada mereka. Dan kita dapat menjaringkan lebih banyak gol dan pada akhirnya pemain menggunakan situasi bola mati dan ia sudah cukup baik buat saya.

“Saya benar-benar positif dengan corak permainan pemain Liverpool pada perlawanan ini. Dan Leeds pula akan mengharungi musim yang baik jika mereka dapat mengekalkan intensiti ini seperti mereka melakukannya dalam Liga Kejuaraan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!