Barangan buatan Malaysia rancakkan ekonomi domestik

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad bergambar selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor Tahun 2020 di Petronas Temasya hari ini. - Foto Bernama
Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad bergambar selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia pada Majlis Perasmian dan Pelepasan Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor Tahun 2020 di Petronas Temasya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha kerajaan memperkasa Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) tahun ini bertepatan memandangkan ekonomi semasa yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, langkah itu bagi merangsang dan merancakkan pertumbuhan ekonomi domestik sekali

"Kempen ini juga dapat meningkatkan kesedaran pengguna tentang kewujudan produk tempatan dan menggalakkan pembelian.

"Pada masa sama, kempen itu juga dapat membantu pengusaha tempatan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam mengembangkan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian dan pelepasan Program Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor Tahun 2020 di Stesen Petronas Temasya, Lebuhraya Persekutuan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan data terkini dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, sumbangan PKS kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat kepada 38.9 peratus pada 2019 berbanding 38.3 peratus dicatatkan pada 2018

"Produk tempatan berperanan besar terhadap ekonomi negara dan akan terus menyumbang kepada peningkatan peratusan KDNK selain membuktikan peranan PKS yang berupaya menyediakan peluang pekerjaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

"Pelbagai strategi diperkenalkan dalam usaha membawa produk PKS tempatan ke sektor peruncitan termasuk berkolaborasi dengan syarikat peruncitan utama negara serta kerjasama daripada pasar raya, kedai serbaneka dan rangkaian kedai syarikat minyak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Program Kembara Pengguna dan Peniaga KPDNHEP Selangor Tahun 2020 dirangka sebagai platform untuk mendapatkan maklumat asas tentang kesedaran kepenggunaan bagi pengguna dan peniaga terpilih di kawasan luar bandar.

Program empat hari sehingga 16 September itu turut mempromosikan dua kempen utama iaitu KBBM dan Program Jualan Malaysia (PJM) yang merupakan inisiatif bagi merancakkan sektor peruncitan serta mengembalikan permintaan pasaran dalam negara.

Ia dilaksanakan secara jelajah berkumpulan (konvoi) dengan penglibatan 12 kenderaan pacuan empat roda dan 20 tempat kajian berjarak 591 kilometer keseluruhan ditetapkan bagi mendapatkan maklumat berkaitan tahap kesedaran pengguna dan peniaga di Selangor.

KPDNHEP Selangor juga mendapat kerjasama daripada Petronas Dagangan Berhad bagi mempromosikan Petronas sebagai jenama Malaysia. - Bernama