X

Kindly register in order to view this article
!

47,332 individu dapat kerja menerusi PenjanaKerjaya

Saravanan (empat dari kiri) merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Hulu Selangor 2020 semalam.
A
A

HULU SELANGOR - Seramai 47,332 pencari kerja di seluruh negara telah mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja (PenjanaKerjaya) sejak ia dimulakan pada 15 Jun sehingga Khamis lepas, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, jumlah pengambilan pekerja itu melibatkan 7,196 majikan berdaftar dengan PenjanaKerjaya yang diwujudkan untuk mengurangkan kadar pengangguran dan memulihkan ekonomi negara.

“Sebanyak 8,045 pencari kerja di Selangor telah berjaya mendapat pekerjaan menerusi program ini. Justeru, saya menyeru lebih banyak majikan berdaftar dengan PenjanaKerjaya dan portal pekerjaan negara MYFutureJobs bagi membantu rakyat Malaysia yang mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia (KSM) Hulu Selangor 2020 di sini semalam.

Pada karnival berkenaan, lebih 6,500 kekosongan jawatan ditawarkan.

Menurutnya, berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga Khamis lepas sebanyak 79,737 pekerja di seluruh negara telah hilang mata pencarian mereka.

Antara pencari kerja yang menghadiri Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Hulu Selangor 2020 di Dewan dan Auditorium Dato’ Abd Hamid, Batang Kali, Selangor semalam.
Antara pencari kerja yang menghadiri Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Hulu Selangor 2020 di Dewan dan Auditorium Dato’ Abd Hamid, Batang Kali, Selangor semalam.

Saravanan berkata, sejak pandemik koronavirus (Covid-19) mula melanda negara, kadar pengangguran 3.3 peratus yang dicatatkan pada Februari lepas meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei.

“Bagaimanapun, kadar pengangguran menurun kepada 4.9 peratus pada Jun selepas kebanyakan sektor ekonomi dibuka semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekali gus menggambarkan pemulihan awal pasaran pekerjaan negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KSM menerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersama Kementerian Dalam Negeri sedang berbincang untuk mewujudkan latihan khas untuk warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Saravanan berkata, dalam perbincangan itu, KSM yang diwakili Ketua Setiausaha, Datuk Jamil Rakon akan memperincikan mengenai skop kerja perkhidmatan kawalan keselamatan dalam negara.

“Baru-baru ini ada kes pengawal keselamatan (warga asing) kena belasah dengan seorang individu. Jika mereka tidak boleh jaga diri, bagaimana nak jaga kita?” katanya.

Pada Julai lepas, satu video berdurasi 44 saat tular di media sosial memaparkan insiden seorang lelaki menampar dan memukul seorang pengawal keselamatan dipercayai warga asing menggunakan sebatang kayu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!