200 penduduk terjejas banjir kilat di Karangan

Anggota APM Kulim membantu salah seorang penduduk di mukim Karangan yang terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat semalam.
Anggota APM Kulim membantu salah seorang penduduk di mukim Karangan yang terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat semalam.
A
A
A

KULIM - Kira-kira 200 penduduk daripada 50 keluarga di lima kawasan dalam mukim Karangan terjejas akibat banjir kilat selepas hujan lebat sejak petang semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kulim, Leftenan (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, hujan lebat mengakibatkan paras air di Sungai Kob naik kepada 0.4 meter.

Menurutnya, lima kawasan terjejas ialah Perumahan Awam Karangan, Kampung Bonggol Penyengat, Kampung Baru Sungai Kob, Kampung Padang Limau dan Kampung Padang Janggus.

"Sejak jam 5.15 petang, hujan lebat hingga menyebabkan beberapa kawasan permukaan rendah dinaiki air, manakala limpahan air sungai pula mengakibatkan kawasan berdekatan dinaiki air.

"Sebanyak 15 rumah dilanda banjir kilat di Perumahan Awam Karangan, 20 rumah di Kampung Banggol Penyengat, tujuh rumah di Kampung Baru Sungai Kob, lima rumah di Kampung Padang Limau dan tiga rumah di Kampung Padang Janggus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, aliran air Sungai Kob didapati bergerak perlahan namun semakin meningkat disebabkan keadaan hujan renyai hingga mengakibatkan Jambatan Sungai Kob mulai tenggelam, namun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini.

"Seramai 20 anggota APM Kulim sudah diarahkan ke lokasi kejadian untuk memantau dan membantu mangsa serta pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kulim dan polis.

Artikel Berkaitan: