PRU15: Pas perlu sedia perintah Malaysia, kata Abdul Hadi

Abdul Hadi menyampaikan ucapan dasar Presiden Pas di Muktamar Tahunan Pas kali ke-66 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan di Pengkalan Chepa hari ini.
Abdul Hadi menyampaikan ucapan dasar Presiden Pas di Muktamar Tahunan Pas kali ke-66 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan di Pengkalan Chepa hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Ahli Pas perlu melakukan persediaan untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membolehkan pemerintahan mengikut acuan Islam berjaya dilaksanakan di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, gerak kerja PRU15 bukan tertumpu kepada semangat untuk bertanding kerusi yang banyak sahaja tetapi lebih kepada memperkukuhkan wahdah ummah di tempat masing-masing.

"Jangan hanya sekadar menjadi ahli tanpa melakukan kerja atau menubuhkan cawangan tanpa bergerak, meletakkan calon tanpa mempersiapkan cawangan. Jentera pilihan raya juga perlu mendapatkan undi yang ramai dan bukan mengumpul musuh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ucapan Dasar Presiden Pas di Muktamar Pas kali ke-66 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Menurutnya, Pas perlu menyediakan calon terbaik jika mahu memerintah atau menjadi pembangkang yang menasihat, berdakwah dan berkhidmat kepada masyarakat.

"Kadang-kadang ada kawasan memilih calon yang selesa untuk mereka dan tempat masing-masing," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, kepimpinan Pas wajib membuat keputusan tegas supaya parti itu dihormati dengan kemampuan memimpin serta berjaya menyelamatkan negara dan umat.

Justeru katanya, seluruh ahli perlu taat terhadap keputusan parti yang menjadi syarat dan rukun berjemaah.

"Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Pas Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan terpenting ini.

Artikel Berkaitan:

"Golongan yang berwibawa dalam Pas tidak akan tercicir kerana kerajaan teknokrat yang kita perkenalkan tetap memberi tempat masing-masing, tidak semestinya menjadi calon dan wakil rakyat sahaja.

"Mereka yang menjadi calon pula sedia berkorban menghadapi segala kemungkinan apabila ditugaskan," katanya.

Abdul Hadi berkata, Pas berjaya memilih calon yang istiqamah melalui tapisan Majlis Syura Ulamak dan ikatan Bai’ah yang menjadi rukun perjuangan.