Bekas Ketua UMNO Beaufort tanding tiket Bebas

Mohd Fadzlee Lee Abdullah@Chun Lee
Mohd Fadzlee Lee Abdullah@Chun Lee
A
A
A

KUALA PENYU - Bekas Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Mohd Fadzlee Lee Abdullah@Chun Lee muncul sebagai calon Bebas selepas namanya ‘tercicir’ sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Mohd Fadzlee menyifatkan keputusan untuk bertanding dibuat selepas mengambil kira maklum balas penduduk DUN berkenaan selain kehendak ahli-ahli UMNO yang mahukan beliau bertanding pada PRN meskipun atas tiket Bebas.

“Sebelum mengambil keputusan sukar ini, perbincangan dan pandangan bersama rakan-rakan saya ambil kira dan saya akur dengan kehendak akar umbi terutamanya ahli-ahli UMNO yang mahukan saya bertanding sebagai calon Bebas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, UMNO Bahagian Beaufort sebelum ini menyuarakan agar kerusi DUN Kuala Penyu diserahkan kepada UMNO berdasarkan kepada beberapa faktor termasuk sokongan parti itu kepada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) ketika menjadi komponen Barisan Nasional (BN).

“Dengan perkembangan politik semasa menyaksikan UPKO keluar daripada komponen BN dan wakil rakyatnya sebelum ini mengumumkan keluar parti, prinsip perkongsian kuasa sudah tidak boleh diguna pakai lagi.

“UMNO selama ini telah berkorban demi memberikan laluan kepada UPKO atas konsep perkongsian kuasa dan PRN kali ini adalah masa sesuai untuk parti ini diberikan tempat mewakili DUN Kuala Penyu,” katanya.

Justeru katanya, kehadiran beliau sebagai calon Bebas adalah bagi menghargai aspirasi akar umbi yang mahukan dirinya bertanding walaupun tanpa mewakili mana-mana parti.

Mohd Fadzlee Lee akan menentang penyandang kerusi itu yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Limus Jury; calon Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parijik@Fredzex Bagang; calon UPKO, Nelson W Anggang; calon Parti Liberal Demokratik (LDP), Jepri Mapat dan calon Parti Cinta Sabah (PCS), Cecilia Jompiuh.

Artikel Berkaitan: