Pas akui Covid-19, perubahan kerajaan cabaran besar

Takiyuddin (dua dari kanan) bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua dari kiri); Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin (kiri) pada Muktamar Tahunan Pas ke-66 di Dewan Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa hari ini. - Foto Bernama
Takiyuddin (dua dari kanan) bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (dua dari kiri); Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (kanan) dan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin (kiri) pada Muktamar Tahunan Pas ke-66 di Dewan Pusat Tarbiah Islam Kelantan (Putik) Pengkalan Chepa hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Pas mengakui pandemik Covid-19 dan perubahan kerajaan cabaran besar yang menjadi sejarah kepada parti itu termasuk pemimpinnya yang diberi tanggungjawab dalam agensi tertentu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam ucap tama di Muktamar Tahunan Pas kali ke-66 hari ini berkata, berikutan perubahan politik yang berlaku, sebilangan besar pimpinan diletakkan dalam lapangan baharu yang lebih luas dan rencam.

"Justeru, tanggungjawab kita juga semakin banyak dan semakin berat, audien kita bukan lagi sesama kita dengan pemikiran dan latar belakang yang sama.

"Sebaliknya kita bertanggungjawab untuk semua rakyat Malaysia dengan segala kepelbagaian, bukan lagi parti kelompok dan pemimpin kita semata-mata," katanya.

Menurutnya, keadaan yang membawa Pas ke Putrajaya bukan sesuatu yang dirancang sepenuhnya walaupun Pas sudah menjangkakan berlaku perubahan kerajaan.

Katanya, kontradiksi dalam Pakatan Harapan dan idealisme politik yang tidak berpijak kepada kenyataan, sikap keras dan gelojoh yang terhasil menjadi faktor runtuhnya PH.

"Ini juga disebabkan kesedaran hampir semua rakan kita daripada Bersatu dan sebahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR), maka lahirlah kerajaan kita bersama, kerajaan Perikatan Nasional yang lebih bertolak ansur dan saling menghormati dalam perkara berkebajikan.

"Ini terbukti landskap politik orang Melayu Islam berubah di negara ini melalui wawasan penyatuan ummah sehingga termeterainya piagam Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO yang genap setahun esok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Takiyuddin juga memberitahu, Pas perlu kekal sebagai obor harapan ke arah masyarakat dan negara yang baik, adil, bermaruah, berakhlak maju, progresif dan dirahmati ALLAH.

"Kita perlu berazam membina negara yang baik untuk semua orang, adil dan saksama. Inilah harapan dan komitmen kita," katanya.