'Saya seolah telah dihukum bersalah'

Jumaat lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melupuskan tanah kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.7 juta kepada syarikat pemaju di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini.
Jumaat lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melupuskan tanah kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.7 juta kepada syarikat pemaju di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini.
A
A
A

BUTTERWORTH - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membidas kenyataan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin sebelum ini yang dilihat seakan sudah menghukumnya sebelum perbicaraan mahkamah dijalankan.

Guan Eng berkata, kenyataan Wan Shahruddin bukan sahaja memberi gambaran dirinya sudah bersalah malah boleh menghancurkan reputasi serta menjejaskan haknya untuk menerima perbicaraan yang adil.

"Beliau dengan angkuh menyatakan keyakinan peluang 99 peratus akan menang sabitan selain turut menyifatkan dua pertuduhan baharu yang dikenakan terhadap saya pada Jumaat lalu sebagai ibu kepada semua pertuduhan.

"Ini bukan ibu kepada semua pertuduhan sebaliknya ia adalah ibu kepada segala pembohongan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng berdepan dua lagi pertuduhan rasuah

Lim Guan Eng didakwa lagi

Sebelum ini, Wan Shahruddin yang bertindak sebagai Timbalan Pendakwa Raya Utama dalam kes rasuah Guan Eng menyatakan dua pertuduhan yang dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu adalah 'ibu kepada semua pertuduhan' berhubung projek terowong dasar laut.

Beliau yakin mempunyai merit yang cukup untuk menjalankan pendakwaan terhadap Guan Eng.

Artikel Berkaitan:

"Polisi kami di Pejabat Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menuduh kes yang ada 99 peratus peluang untuk menang," katanya.

Guan Eng berkata, kenyataan Wan Shahruddin itu tidak wajar malah dan hanya memperkukuhkan syak wasangka orang ramai bahawa pertuduhan itu bermotif politik.

Beliau turut mendakwa apa yang sedang dihadapinya itu adalah strategi politik baru kerajaan Perikatan Nasional yang mahu memberi gambaran 'Ini semua salah Lim Guan Eng'.

Selain itu, Guan Eng turut mempersoalkan mengapa Jabatan Peguam Negara berkeras untuk memindahkan kes yang dihadapinya ke Kuala Lumpur sedangkan semua pertuduhan yang dikenakan didakwa berlaku sepenuhnya di Pulau Pinang.

Jumaat lalu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melupuskan tanah kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.7 juta kepada syarikat pemaju di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes Guan Eng hari ini 'ibu kepada semua pertuduhan'

Guan Eng, 60, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Guan Eng sebelum ini juga berdepan dengan tiga dakwaan meminta suapan dan salah guna kuasa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri.