PKPD Amanjaya: Dua zon tangguh pelepasan kuarantin

Sekolah Kebangsaan Ambangan Heights menjadi tumpuan penduduk Zon Kenanga yang dijadualkan melaksanakan proses pemotongan gelang hari ini.
Sekolah Kebangsaan Ambangan Heights menjadi tumpuan penduduk Zon Kenanga yang dijadualkan melaksanakan proses pemotongan gelang hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua zon di Ambangan Heights, Bandar Amanjaya yang dijadualkan melaksanakan pelepasan kuarantin hari ini ditangguhkan ke tarikh dan masa yang akan ditetapkan kemudian berikutan terdapat maklumat kes positif koronavirus (Covid-19).

Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda melalui kenyataan di Facebook memaklumkan bahawa bilik gerakannya telah menerima maklumat baharu Covid-19 melibatkan Zon Mawar dan Zon Melor.

Sehubungan itu, pemotongan gelang di dua zon berkenaan terpaksa ditangguhkan sehingga siasatan kes selesai.

"Bagaimanapun, penduduk Zon Kenanga yang turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran, dibenarkan melakukan pelepasan kuarantin bermula jam 9 pagi seperti yang dijadualkan," kata kenyataan itu.

Difahamkan, penduduk Zon Kenanga telah mula membanjiri Sekolah Kebangsaan Ambangan Heights sejak jam 8 pagi tadi bagi sesi pemotongan gelang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terdahulu, kesemua penduduk di tiga buah zon terbabit telah diperintahkan menjalani PKPD Pentadbiran di Ambangan Heights, Bandar Amanjaya bermula 28 Ogos hingga 10 September lalu.

Susulan perintah berkenaan, penduduk di kawasan terbabit diwajibkan menjalani saringan dan dipakaikan gelang merah jambu bagi isi rumah dan putih bagi ketua keluarga.

Perintah itu dilanjutkan selama tiga hari bermula 11 September sehingga hari ini berikutan proses saringan kedua penduduk ketika itu masih belum selesai.

Artikel Berkaitan:

Awal pagi tadi, penduduk di kawasan PKPD Pentadbiran dikejutkan dengan kehadiran beberapa buah ambulans memasuki Zon Mawar dan Melor difahamkan terdapat kes positif Covid-19 di kawasan terbabit.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang mengesahkan bahawa keputusan saringan kedua dalam kawasan PKPD Pentadbiran sudah mula diterima.

Bagaimanapun katanya, terdapat keputusan yang memerlukan siasatan dan tindakan lanjut.

"Buat masa ini, penduduk perlu mematuhi saranan dari Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda," katanya ketika dihubungi.