Bersatu JB tegur UMNO jangan jadi musuh dalam selimut

Razrul Anwar Rulis
Razrul Anwar Rulis
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemimpin UMNO Johor diingatkan supaya tidak menjadi musuh dalam selimut yang terus mengkritik dan menyindir Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana perbuatan itu hanya akan memecahbelahkan perpaduan sedia ada.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Razrul Anwar Rulis berkata, sepatutnya semua ahli berjiwa besar dan tidak menunjukkan akhlak yang buruk apatah lagi kedua-dua parti itu berada dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurutnya, Bersatu yang bersatu dengan UMNO akan memberi manfaat besar kepada rakyat lebih-lebih kedua-dua parti berpengaruh itu berkongsi sejarah sama ditubuhkan di negeri ini.

"Saya mahu mengajak Datuk Nur Jazlan, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan lain-lain yang sering bersuara sinis supaya duduk bersama-sama menjayakan program merapatkan silaturahim antara parti Melayu dan menyatupadukan orang Melayu di negeri ini.

"Saya percaya bukan sahaja rakyat akan menyambut baik langkah politik era baharu ini, bahkan seruan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menjadi kenyataan untuk kita hidup bersatu padu di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, siri-siri sindiran dan komen terbuka terhadap PN terutama Bersatu boleh menggagalkan penyatuan bangsa dan PN adalah satu jenama segar dalam membentuk penyatuan yang terbaik masa kini untuk menyatupadukan Melayu dan pribumi.

"Bersatu Johor Bahru kecewa Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang menyerang Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka dalam ceramahnya tetapi kami berjiwa besar dan menilainya daripada sudut positif.

"PN mempunyai kekuatan 'Abah' dan jenama politik yang segar. Pemimpin-pemimpin Melayu perlu berganding bahu bersama ‘kawan-kawan’ mencari jalan supaya terus berusaha dalam menyatukan orang-orang Melayu dan pribumi. Inilah jihad kita. Inilah masanya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Razrul Anwar berkata, sebarang teguran boleh diterima dalam keadaan landskap politik yang kini sudah berubah, namun budaya mengkritik perlu berdasarkan analisis dan data harus menjadi norma yang baharu.

"Segala kritikan daripada kawan-kawan sepatutnya membina bukan meroboh. Budaya politik mengampu dan mengipas wajib dimatikan. Rakyat boleh menilai ahli-ahli politik. Ahli politik semakin berani dalam hujah dan penyebaran propaganda secara cepat," katanya.

Menurutnya, Bersatu Johor Bahru melihat siri-siri kenyataan pedas tersebut bukan sebagai ancaman sebaliknya suatu kesedaran dan perlu berusaha secara ikhlas mencari titik persamaan.

"Kita yakin mereka juga mahukan perpaduan dan tidak mahu menjadi musuh dalam selimut. Perpaduan yang begitu lama diidamkan rakyat. Bukan sahaja orang Melayu, bangsa lain juga mahukan orang-orang Melayu bersatu padu supaya negara stabil dan kemajuan dapat diteruskan.

"Saya memohon jangan ada yang cuba gagalkan. Jangan ada kawan-kawan kita mencuri selimut demi untuk diri sendiri. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jadilah kawan sebenar, bukan musuh dalam selimut," katanya.