Hilang tiga gigi angkara anjing liar

Anjing liar yang mengejar Muhammad Rayyan masih berkeliaran di taman perumahan tersebut. - Foto ihsan Nazarfitri Gambar kanan: Muhammad Rayyan mengalami kecederaan di muka dan patah gigi selepas melarikan diri daripada anjing liar semalam. - Foto ihsan Nazarfitri
Anjing liar yang mengejar Muhammad Rayyan masih berkeliaran di taman perumahan tersebut. - Foto ihsan Nazarfitri Gambar kanan: Muhammad Rayyan mengalami kecederaan di muka dan patah gigi selepas melarikan diri daripada anjing liar semalam. - Foto ihsan Nazarfitri
A
A
A

IPOH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun cedera selepas dikejar sekumpulan anjing di Taman Sri Tambun di sini petang semalam.

Muhammad Rayyan Ihsan Nazarfitri terpaksa menjalani pembedahan kecil membuang tiga batang gigi akibat kecederaan di muka ketika melarikan diri daripada anjing tersebut.

Bapa mangsa, Nazarfitri Sulaiman, 42, berkata, kejadian tersebut berlaku jam 5 petang ketika anaknya keluar bermain basikal di luar rumah.

Menurutnya, selepas dikejar tiga ekor anjing itu, anaknya berlari untuk meminta tolong dan kemudian terlanggar tingkap rumah jiran menyebabkan kecederaan di bahagian hidung, mulut, dagu dan muka.

"Pada tengah hari semalam, saya dah halau anjing-anjing liar ini sebab kejar budak lain di taman ini. Pada sebelah petang anak saya pula kena kejar dan cedera di muka.

"Saya terus bawa ke hospital untuk rawatan lanjut dan malam tadi anak saya terpaksa jalani pembedahan kecil, tiga giginya terpaksa dibuang disebabkan kecederaan itu," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian membabitkan anjing liar itu bukanlah kali pertama berlaku di taman tersebut kerana sebelum ini penduduk di taman berdepan masalah dikejar anjing dan kehilangan kasut dipercayai disebabkan haiwan berkenaan.

Malah kata Nazarfitri, beberapa aduan mengenai anjing liar itu telah dilaporkan kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap isu ini ditangani dengan segera kerana sudah membabitkan kecederaan orang awam. Saya yakin anjing-anjing ini tidak bertuan kerana tidak memakai rantai.

"Laporan polis juga telah saya buat semalam bagi meminta pihak berkaitan menyelesaikan isu ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MBI, Mazlan Abd Rahman yang melawat Muhammad Rayyan menjelaskan dalam hantaran di Facebook malam tadi akan mengambil tindakan sewajarnya.

Beliau turut memandang serius isu anjing liar yang membahayakan orang awam itu dan akan mencari jalan penyelesaian untuk kebaikan penduduk.