Pengaruh Muhyiddin lawan aura Shafie

MUHYIDDIN, SHAFIE
MUHYIDDIN, SHAFIE
A
A
A

SEMALAM secara rasminya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 membuka tirai selepas pergolakan politik yang berlaku di Negeri Di Bawah Bayu sehingga menyaksikan pembubaran Dewan Undangan Negeri oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada 30 Julai lalu.

PRN kali ke-16 ini boleh dikatakan paling sengit melibatkan semua parti bertanding terutamanya antara Warisan Plus yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal melawan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Warisan Plus dianggotai oleh parti Warisan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menyingkap perjalanan politik Mohd Shafie sepanjang bersama Pakatan Harapan (PH), beliau merupakan antara individu yang bertanggungjawab menyebabkan tumbangnya pemerintahan BN selepas 60 tahun memerintah.

Populariti Mohd Shafie juga menjadi pemangkin gelombang politik di Sabah sehingga mengangkatnya sebagai Ketua Menteri baharu menggantikan Tan Sri Musa Aman daripada BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Namun persoalannya kini mampukah Mohd Shafie mengulangi pencapaian tertingginya itu bagi memastikan Sabah kekal di bawah pentadbiran parti Warisan?

“Cahaya kemenangan kita sudah pun kelihatan kerana kita telah berjaya menubuhkan satu pasukan yang bersatu padu. Kita tidak bertanding antara satu sama lain. Kita ada persefahaman.

“Kerana itu kita sudah nampak cahaya kejayaan kita untuk meneruskan pemerintahan lima tahun akan datang,” kata Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau penuh yakin kepada Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Madius Tangau
Madius Tangau

Apa yang dimaksudkan oleh calon DUN Kiulu itu adalah pembahagian kerusi yang dipersetujui oleh semua ketua parti Warisan Plus yang memperlihatkan Warisan bertanding di 45 kerusi, DAP (7), PKR (7), Amanah (1) dan UPKO sebanyak 12 kerusi.

“Tiada pertindihan kerusi antara kami,” tegasnya penuh bangga.

Berbanding seteru Warisan Plus, isu pertindihan kerusi gagal diselesaikan secara rukun sehingga menyaksikan pertembungan sesama sendiri di 12 kerusi melibatkan BN dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Madius turut bersemangat menceritakan mengenai strategi awal Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkan mungkin memakan diri.

Muhyiddin menamakan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor untuk diangkat sebagai Ketua Menteri, namun cadangan itu dipertikaikan BN.

“Di pihak Warisan Plus, kita sangat jelas bahawa ketua kami ialah Mohd Shafie.

“Di sebelah sana tidak jelas siapa ketua mereka. Sebab itu mereka bercakaran dan 160,000 orang ahli UPKO di seluruh Sabah akan bangkit dengan semangat bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kita,” kata Madius.

Faktor calon

Dalam pada itu, penganalisis politik Sabah daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg melihat pendekatan berani Warisan menampilkan calon baharu dalam kelompok orang muda sebagai strategi yang bakal memberi kelebihan melalui saluran peti undi saluran tiga dan empat.

Romzi menjelaskan, walaupun kredibiliti Warisan tercalar sebelum ini berkenaan pelaksanaan janji-janji selepas PRU14, namun kelebihan pada Warisan Plus ialah parti itu mampu mencari calon yang berkaliber.

“Ramai calon yang dipilih pada kali ini boleh dikatakan calon boleh menang. Jadi saya rasa Warisan masih ada peluang untuk mengekalkan kuasa, cumanya strategi untuk melawan parti lawan itu haruslah lebih kuat dan jelas. Kami tidak lagi bergantung kepada retorik, contohnya ‘Sabah untuk Sabah’ sedangkan konsep itu tidak terpakai sebenarnya, hanyalah semata-mata cakap politik,” katanya kepada Sinar Harian.

Cuma bagi Romzi, yang menjadi halangan bagi Warisan Plus adalah apabila seteru utama mereka turut meletakkan calon popular dan dikenali rakyat sekali gus membuka peluang untuk BN dan PN menang.

“Banyak pengundi hari ini terutamanya pengundi di Sabah dan Sarawak tidak hanya melihat kepada parti tetapi individu yang bertanding. Jika seseorang calon itu memang terkenal dan dekat dengan pengundi, kalau bertanding Bebas pun mungkin boleh menang,” katanya.

Antaranya calon BN dan PN yang popular dan berpengalaman termasuklah Datuk Bung Moktar Radin, Hajiji, Datuk Seri Mohd Salleh Mohd Said, Datuk Jeffrey Kitingan, Jamawi Jaafar, Limus Jury, James Ratib dan Muis Picho.

Namun, sama seperti mana di Semenanjung, satu lagi senjata utama PN kini tidak lain tidak bukan nama Muhyiddin sendiri sehingga diberi gelaran Abah.

Perkara itu diakui sendiri Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun yang yakin pengaruh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri mampu mempengaruhi pengundi pada 26 September nanti.

“Saya fikir produk yang paling laris di Sabah buat masa ini ialah Muhyiddin. Beliau akan mempengaruhi pengundi di Sabah. Beliau dilihat sebagai Perdana Menteri yang betul-betul bekerja, kurang berpolitik serta berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi pelbagai cabaran dan masalah untuk negara.

“Keikhlasan ini barangkali dapat diterjemahkan dan mempengaruhi pengundi di atas pagar serta membuat mereka beralih sokongan kepada PN, BN dan sebagainya,” kata beliau yang mengakui aura Muhyiddin boleh mengatasi isu PN dan BN yang bertindih kerusi.

Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Jainab Ahmad berkata, walaupun sayap Wanita Sabah hanya diberikan satu kerusi di DUN Kukusan, namun seluruh Wanita UMNO Sabah akan tetap merapatkan saf dan berganding bahu membantu semua calon BN dan PN di 73 kerusi bagi mengalahkan Warisan.

 Jainab Ahmad
Jainab Ahmad

“Kalau kita bersatu padu, tidak mustahil untuk kita menang walaupun PRN ini pada pandangan saya ada kesukarannya.

“Bagaimanapun perpaduan itu penting. Segala isu melibatkan kerusi sudah selesai jadi peranan kita sekarang ini adalah untuk rakyat. Wanita UMNO akan berusaha sebaik mungkin,” kata Jainab.