Tersirat di balik kuasa budi bicara

Musa Aman (tengah) dikerumuni para pengamal media sejurus keluar dari Istana Kehakiman di Putrajaya Selasa lalu.
Musa Aman (tengah) dikerumuni para pengamal media sejurus keluar dari Istana Kehakiman di Putrajaya Selasa lalu.
A
A
A

APABILA Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) baru-baru ini, beliau boleh sahaja berundur bagi memberi laluan kepada ‘musuh’ politiknya yang mendakwa menguasai 33 daripada 63 kerusi DUN untuk menubuhkan kerajaan baharu di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Situasi itu pernah berlaku di Kedah, Perak, Melaka dan Johor selepas kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018 kehilangan majoriti di DUN masing-masing.

Perubahan kerajaan di empat buah negeri itu berlaku daripada PH kepada Perikatan Nasional (PN) tanpa perlu mengadakan pilihan raya. Malah situasi yang sama berlaku di peringkat Persekutuan apabila kerajaan PH tumbang pada akhir Februari 2020 untuk digantikan dengan kerajaan PN bermula 1 Mac 2020 tanpa perlu adanya Pilihan Raya Umum (PRU).

Tetapi bagi Shafie yang merupakan peneraju Parti Warisan Sabah (Warisan) yang disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, kehilangan kuasa nampaknya bukanlah menjadi satu pilihan beliau. Pemimpin politik berdarah Bajau itu lebih rela berputih mata daripada berputih tulang.

Hal ini dikatakan demikian kerana dengan memohon perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk membubarkan DUN, bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, beliau sendiri tahu bahawa dalam PRN yang penamaan calon selesai semalam dan hari mengundi ditetapkan pada 26 September 2020, kemenangan belum tentu lagi berpihak kepada partinya.

Tetapi beliau bersedia mengambil risiko kehilangan kuasa tersebut. Pegangan beliau nampaknya jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Sudah tentu pergolakan siasah Sabah bukan sahaja menarik perhatian pengamat dan aktor politik. Pengamat undang-undang perlembagaan turut berasa teruja.

Bagi mereka, sisi lain yang menarik perhatian dalam kemelut politik Sabah ini adalah hakikat bahawa Yang di-Pertua Negeri bersetuju memenuhi permintaan Shafie supaya DUN dibubarkan walhal sekiranya mahu beliau boleh memanggil kumpulan 33 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk membentuk kerajaan baharu tanpa perlu diadakan PRN.

Antara pengamat perundangan itu ada yang bertanya: apakah keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN Sabah itu sah dari segi undang-undang atau beliau telah melampaui fungsi perlembagaan beliau?

Artikel Berkaitan:

Tidakkah selaku Ketua Negeri, beliau sepatutnya bertemu dengan kumpulan 33 orang ADUN dan menawarkan mereka untuk menubuhkan kerajaan terlebih dahulu bukannya membubarkan DUN kerana mereka mempunyai majoriti yang mencukupi untuk memerintah seperti yang berlaku di empat negeri di Semenanjung?

Majoriti

Bukankah dengan enggan memenuhi permintaan kumpulan 33 ADUN untuk berjumpa beliau bagi membuktikan kumpulan itu mempunyai majoriti di DUN Sabah yang membolehkan mereka membentuk kerajaan, Yang di-Pertua Negeri telah melampaui kuasa beliau sebagai Ketua Negeri seperti yang termaktub dalam perlembagaan negeri?

Sebelum perbincangan lanjut, elok dijelaskan di sini bahawa dalam kes membubarkan DUN ini, kuasa Ketua Negeri Sabah, sama seperti kuasa para sultan di negeri-negeri beraja di Semenanjung atau Yang di-Pertuan Agong pada peringkat Persekutuan adalah kuasa budi bicara, bukannya kuasa mengikut nasihat.

Sebenarnya Ketua Menteri selaku peneraju kerajaan negeri boleh memohon supaya DUN dibubarkan tetapi Yang di-Pertua Negeri yang menggunakan kuasa budi bicaranya boleh menolak permohonan tersebut.

Justeru, dalam kemelut politik Sabah itu, yang memerlukan penjelasan dan tafsiran adalah maksud kuasa budi bicara itu sendiri. Apakah kuasa budi bicara itu bermaksud mutlak dan tidak boleh dicabar?

Jawapan kepada semua pertanyaan tersebut hanya boleh diputuskan secara muktamad oleh cabang kuasa kehakiman negara iaitu pihak mahkamah.

Dalam konteks gelora politik Sabah, itulah yang berlaku. Kumpulan 33 orang ADUN Sabah yang dipimpin bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang telah dinafikan peluang untuk membentuk kerajaan tanpa perlu adanya PRN telah mencabar keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah di mahkamah.

Dalam perbicaraan pusingan pertama, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membuat keputusan kuasa budi bicara Ketua Negeri tidak boleh dicabar dan bersifat mutlak. Tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut, Kumpulan 33 itu membawa kes mereka ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya, kali ini diadili oleh tiga orang hakim, bukannya seorang hakim sewaktu di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan di Putrajaya mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu bahawa kuasa budi bicara Yang di-Pertua Negeri Sabah untuk membubarkan DUN juga tidak boleh dicabar, tidak boleh dipersoalkan dan berbentuk mutlak; bahawa keputusan yang dibuat Ketua Negeri untuk membubarkan DUN Sabah, atas permintaan Ketua Menteri yang telah kehilangan majoriti, tidak menyalahi undang-undang.

Sepatutnya, Kumpulan 33 ADUN itu boleh membawa kes mereka ke Mahkamah Persekutuan untuk dibuat keputusan muktamad. Di Mahkamah Persekutuan, bukan tiga orang hakim yang akan bersidang untuk mendengar kes mereka, tetapi mungkin lima orang atau lebih. Keputusannya mungkin berbeza dengan penghakiman Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.Tewas

Tetapi kumpulan itu tidak berbuat demikian. Barangkali mereka sedar bahawa setelah tewas dua kali, tiada gunanya kes dibawa ke Mahkamah Persekutuan bagi penentuan.

Dengan tidak berbuat demikian, mereka menerima hakikat bahawa tersirat di balik kuasa budi bicara Yang di-Pertua Negeri adalah kemutlakan kuasa ketua negeri yang selama ini menjadi teka-teki sama ada ia boleh dipersoalkan atau dicabar di mana-mana mahkamah di negara ini.

Implikasinya di sini adalah jelas: satu precedent (duluan) perundangan tercatat untuk dijadikan sebagai ikutan dan panduan bagi orang politik dan para peguam pada masa akan datang dalam menghadapi kes yang sama.

Sudah tentu precedent itu bukan sahaja sah terpakai untuk Sabah, tetapi untuk negeri-negeri lain di negara ini: bahawa selaku ketua negeri, baik dengan gelaran Sultan, Raja, Yang di-Pertuan Besar atau Yang di-Pertua Negeri, kuasa budi bicara yang diberi kepada penyandang jawatan adalah berbentuk mutlak.

Dengan kata lain, kuasa budi bicara ini tidak sama dengan kuasa mengikut nasihat dinyatakan dalam perlembagaan dalam mana ketua negeri atau ketua negara perlu akur dengan nasihat yang diberi oleh ketua kerajaan iaitu Menteri Besar dan Ketua Menteri di peringkat negeri atau Perdana Menteri di peringkat Persekutuan.

*Datuk Dr Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI)