Rumah Putih, Pentagon tegang

Rumah Putih
Rumah Putih
A
A
A

MENJELANG pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), hubungan antara Rumah Putih dan Pentagon semakin tegang.

Ia susulan kritikan Presiden Donald Trump terhadap kepimpinan tentera AS mengatakan panglima tentera AS lebih mengutamakan kepentingan industri pertahanan sehingga sanggup melancarkan peperangan terhadap kuasa asing.

Rasionalnya, selagi ada konflik dan peperangan, maka akan wujud permintaan terhadap senjata serta peralatan pertahanan. Pihak yang benar-benar memperoleh keuntungan daripada konflik merupakan syarikat pengeluar senjata dan peralatan pertahanan.

Trump telah mendakwa Pentagon atau Jabatan Pertahanan AS tidak bertindak demi kepentingan AS, sebaliknya demi keuntungan.

Namun, dakwaan dan kritikan Trump dinafikan Ketua Angkatan Tentera Darat AS, Jeneral James McConville.

Menurutnya, penghantaran tentera AS ke medan peperangan hanya untuk keperluan keselamatan nasional dan merupakan jalan terakhir.

McConville menegaskan, sebarang operasi ketenteraan telah diteliti secara serius sebelum dilancarkan dan pihak tentera tiada apa-apa kepentingan dalam politik.

Tindakan Trump mengkritik pemimpin tentera AS boleh dianggap luar biasa dalam sejarah AS. Sebelum ini jarang seorang Presiden AS selaku Ketua Panglima Angkatan Tentera AS secara terbuka mengkritik dan menuduh panglima-panglima AS yang dilantik oleh pentadbiran sendiri.

Artikel Berkaitan:

Sewaktu tamatnya Perang Dunia Kedua, hubungan antara Presiden Harry Truman dengan Ketua Angkatan Tentera Darat AS, Jeneral Douglas MacArthur juga tidak mesra disebabkan perasaan dengki dan curiga Presiden AS terhadap populariti MacArthur.

Walaupun Truman secara peribadi tidak menyukai MacArthur, namun beliau tidak mengkritik kepimpinan tentera AS seperti yang dilakukan Trump.

Hubungan antara Trump dan pemimpin tentera AS serta Pentagon merosot sejak tercetusnya protes besar-besaran akibat kekejaman polis sehingga menyebabkan kematian George Floyd serta kes rasis melibatkan penduduk Afrika Amerika.

Jeneral Mark Milley iaitu salah seorang pemimpin tertinggi tentera AS juga mengkritik pentadbiran Trump menggunakan bahan kimia dan peluru getah untuk menyurai penunjuk perasaan yang berkumpul secara aman di depan Rumah Putih.

Merosot

Hubungan Rumah Putih dan Pentagon menjadi lebih tegang apabila tersebar berita kononnya pada tahun 2018, Trump ketika berada di Perancis enggan memberi penghormatan kepada tentera AS yang terkorban di Eropah semasa Perang Dunia Kedua.

Tinjauan Military Times mendapati pada permulaan pentadbiran Trump, sebanyak 46 peratus tentera AS mempunyai pandangan yang positif, manakala 37 peratus mempunyai pendapat yang tidak baik. Bagaimanapun, setelah empat tahun bilangannya berubah dengan drastik.

Berdasarkan hasil tinjauan pada akhir Julai dan awal Ogos 2020, daripada 1,000 orang tentera sekitar setengah, 49.9 peratus mempunyai pandangan yang tidak baik, sementara 38 peratus mempunyai pandangan yang baik.

Trump turut mendapat kritikan daripada pemimpin veteran, antaranya Jeneral Bersara, James Mattis yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Pertahanan pada peringkat awal pentadbiran Trump.

Jeneral Bersara, Stanley McChrystal pula melabel Trump sebagai tidak bermoral, sementara Laksamana Bersara, Bill McRaven menyifatkan Trump sebagai ancaman kepada republik AS.

Trump pernah mencadangkan penghantaran tentera AS bagi membendung protes. Lebih membimbangkan sekiranya Trump cuba menggunakan kuasa tentera untuk memihaknya pada pilihan raya presiden kerana menyedari popularitinya semakin tercabar oleh calon Parti Demokrat, Joe Biden serta Kamala Harris.

Ketegangan Rumah Putih dan Pentagon hanya akan menghakis hubungan sivil-militari di AS. Pasukan tentera yang profesional harus bebas daripada pengaruh politik dan sentiasa bersifat neutral.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya