Cadang bina rumah guna teknologi IBS kenaf di 222 parlimen

Mohd Khairuddin melihat model kediaman menggunakan teknologi IBS kenaf sempena Majlis Perasmian Penutup Kursus Pengenalan Keusahawanan sistem binaan berindustri (IBS) Kenaf di sini, hari ini.
Mohd Khairuddin melihat model kediaman menggunakan teknologi IBS kenaf sempena Majlis Perasmian Penutup Kursus Pengenalan Keusahawanan sistem binaan berindustri (IBS) Kenaf di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mengemukakan cadangan bagi membina 20 kediaman di setiap 222 kawasan Parlimen menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS) berasaskan kenaf.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pembinaan kediaman di bawah peruntukan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dijangka menelan belanja RM222 juta dengan peruntukan kos sekitar RM50,000 untuk sebuah rumah.

Katanya, usaha itu bertujuan mengembangkan penggunaan IBS kenaf dalam pembinaan kediaman di negara ini.

“Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung cadangan ini. Setakat ini sebanyak tiga buah kediaman dalam pembinaan di Parlimen Kuala Nerus sebagai projek perintis.

“Usaha ini dilakukan kerana teknologi ini terbukti lebih sistematik, tahan haba, tahan lasak, menjimatkan masa dan kos pembinaan serta mesra alam,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selepas melancarkan Majlis Perasmian Penutup Kursus Pengenalan Keusahawanan sistem binaan berindustri (IBS) Kenaf di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi), Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Idris Mohd Salleh.

Mohd Khairuddin berkata, penggunaan teknologi IBS dalam projek yang dimajukan oleh pihak swasta meningkat kepada 35 peratus pada tahun 2019 berbanding 14 peratus pada tahun 2015.

“Industri pembinaan di Malaysia tidak terkecuali mengalami transformasi seiring dengan kemajuan digitalisasi dan teknologi. Ia telah mula beralih dari kaedah konvensional kepada sistem IBS yang lebih sistematik, mapan, menjimatkan masa dan kos selain berkualiti.

Artikel Berkaitan:

“Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai agensi yang mengawal selia pengembangan industri pembinaan di Malaysia menyasarkan penggunaan teknologi berkenaan meningkat kepada 50 peratus menjelang akhir 2020 bagi projek yang dimajukan oleh pihak swasta,” katanya.

Tambahnya, industri kenaf mempunyai potensi besar dan berdaya saing untuk dibangunkan termasuk pembinaan.

“Sehingga 31 Julai 2020, seluas 285.2 hektar kawasan di Terengganu telah dibangunkan dengan tanaman kenaf melibatkan 178 penanam.

Jumlah keluasan dijangka bertambah selaras dengan peningkatan keperluan bahan mentah bagi menyokong pengeluaran produk ‘non-woven’ melalui fasiliti pemprosesan yang telah dibangunkan di Setiu, Terengganu.

“Kementerian melalui LKTN sentiasa menambah baik program pembangunan yang melibatkan aktiviti pengembangan serta fasiliti berkaitan supaya pembangunan industri berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih komprehensif,” katanya.