Musa Aman minta rakyat Sabah jaga diri

Musa Aman
Musa Aman
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman meminta rakyat negeri itu supaya terus menjaga diri dalam keadaan selamat selepas hilang dari radar politik Sabah susulan tindakan tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga.

Penyandang kerusi itu sejak 1994, Musa selaku tokoh politik UMNO negeri itu tidak mengemukakan borang pencalonan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah hari ini.

Pencetus kepada pembubaran DUN Sabah pada 30 Julai lalu, Musa tidak kelihatan di mana-mana pusat penamaan calon yang dibuka sejam mulai jam 9 pagi.

“Jaga diri semua, semoga sentiasa dalam keadaan selamat,” kata Musa yang tidak menyerahkan borang pencalonannya sejurus pusat penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila ditutup dalam kenyataannya di Twitter hari ini.

Untuk rekod, Musa menerusi Twitternya pada 9 September telah menulis: ”Saya akan kembali ke Sungai Manila” namun tiada kelibatnya pada kerusi baharu dalam Parlimen Libaran tersebut.

Seorang pegawainya yang tidak mahu dikenali memaklumkan kepada Bernama bahawa bekas ketua menteri berusia 69 tahun itu tidak bercadang untuk membuat sebarang sidang akhbar setakat berita ini ditulis.

PRN ke-16 ini diadakan susulan pembubaran DUN yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 30 Julai lalu sehari selepas Musa mendakwa beliau mempunyai cukup majoriti untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Musa Aman sah tidak tanding PRN Sabah

Artikel Berkaitan: