X

Kindly register in order to view this article
!

Signifikan PRN Sabah jadi penentu PRU-15

Hassan (kanan) membantu komuniti setempat membersihkan sampah dalam Program Gotong Royong Basmi Denggi di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Pasir Gudang, hari ini.
A
A

PASIR GUDANG - Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah mempunyai signifikan yang akan menjadi penentu sama ada Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan segera atau sebaliknya.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berpendapat, PRN itu amat penting kerana akan menentukan pilihan sebenar rakyat sama ada menyokong Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

"Keputusan PRN Sabah nanti akan memberi gambaran sebenar rakyat mahukan siapa (PN atau PH) untuk mewakili mereka sebagai kerajaan," katanya pada sidang akhbar dalam Program Gotong Royong Basmi Denggi di Kampung Orang Asli Kuala Masai di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September ini sebagai tarikh PRN Sabah manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 12 September, manakala hari mengundi awal pada 22 September.

Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada PRN Sabah kali ini.

Mengulas lanjut, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor menjangkakan selepas PRN di Sabah, negeri ini turut berdepan PRN berdasarkan perkembangan politiknya ketika ini.

Fokus pada masa ini katanya, akan lebih kepada bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian dan tindakan yang akan diambil Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadapnya.

"PN ketika ini memiliki 29 kerusi sementara PH memiliki 27, jadi jika mereka (Lembaga Disiplin Bersatu) memutuskan untuk memecat keahliannya, maka PN akan mempunyai 28 kerusi, PH pula 27 kerusi dan Bebas mempunyai satu kerusi DUN," katanya,

Sekiranya Menteri Besar Johor hilang sokongan majoriti di DUN, beliau berkata, Hasni perlu menasihatkan atau meminta pandangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membubarkan DUN supaya PRN Johor dilaksanakan.

Sepatutnya kata beliau, semua wakil rakyat mematuhi titah Sultan Ibrahim yang mahu fokus utama terhadap keperluan serta kepentingan masyarakat dan bukan terus berpolitik.

Jelasnya, sekarang bukan masanya untuk terus berpolitik sebaliknya merupakan masa untuk turun ke bawah membantu rakyat yang masih terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

"Rakyat meminta perhatian kita sebagai wakil rakyat untuk membantu mereka, pemulihan ekonomi kita perlahan dan sempadan Johor-Singapura tidak dibuka sepenuhnya, jadi masih banya kerja yang perlu kita lakukan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!