Premis proses ayam hidup kotor diarah tutup

Keadaan dalam premis pemprosesan ayam hidup yang diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi tadi.
Keadaan dalam premis pemprosesan ayam hidup yang diarah tutup oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah premis pemprosesan ayam hidup di Jalan Sungai Besi Batu 2 1/2 dekat sini diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor selain tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.

Lebih menjijikkan, ayam dibiarkan di atas lantai simen yang tidak bersih dan air buangan turut disalurkan terus ke longkang awam.

Perkara itu terbongkar apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerbu premis berkenaan awal pagi tadi selepas menerima aduan melalui Pusat Panggilan Setempat DBKL.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, dalam serbuan bersama Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Jabatan Penguatkuasaan DBKL pada jam 2 pagi tadi mendapati pemilik premis menggajikan dua pekerja warga Bangladesh dan seorang warga India.

“Ketika serbuan dilaksanakan, lantai dan dinding premis didapati kotor dan berdaki hitam. Pengendali makanan didapati tiada suntikan typhoid. Premis tersebut dikenakan tindakan penutupan serta-merta di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“DBKL turut mengeluarkan enam kompaun atas pelbagai kesalahan kepada pemilik premis termasuk di bawah UUK 3(1) UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan, pemilik juga dikenakan tindakan di bawah UUK 20(1)(b) UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian(WPKL) 2016 atas kesalahan mengambil pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Selain itu, notis kompaun di bawah Seksyen 47(1)(d) Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 turut diberikan kepada pemilik kerana didapati mengalirkan cecair kotor ke tempat awam.

Artikel Berkaitan:

“Tiga lagi kompaun dikeluarkan di bawah UUK 23(1)(b) UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016; UUK 15(2) UUK Pelesenan Petempatan Makanan(WPKL) 2016 dan UUK 25(1)(b) UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL).

“DBKL memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti perniagaan tidak mematuhi peraturan supaya menyalurkan maklumat ke Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 18008 3255 atau terus ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran,” menurut kenyataan itu lagi.