Penduduk Kota Setar diminta kekal di rumah

Mohd Hayati Othman
Mohd Hayati Othman
A
A
A

ALOR SETAR - Penduduk Kota Setar yang bertindak keluar dari daerah itu sebelum Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dikuatkuasakan semalam perlu kekal di rumah di mana mereka berada sekarang.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, tindakan mereka yang ingkar kepada arahan kerajaan akan meningkatkan risiko penularan pandemik koronavirus (Covid-19) ke daerah mahupun negeri lain.

Menurutnya, rakyat seharusnya faham bahawa pelaksanaan PKPD Pentadbiran untuk mengekang pandemik itu dan kekal berada di rumah adalah langkah terbaik bagi menyelamatkan nyawa sendiri dan juga orang yang berada di sekeliling.

"Tindakan mereka yang keluar dari daerah ini selepas pengumuman PKPD Pentadbiran seperti tidak sayang kepada orang lain.

"Hal ini akan melambatkan petugas kesihatan untuk mengesan kontak rapat jika mereka didapati positif Covid-19. Kita bimbang akan wujud kluster baharu di tempat lain pula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa individu atau penduduk Kota Setar yang melarikan diri selepas pengumuman pelaksanaan PKPD akan diburu polis.

Dr Mohd Hayati berkata, semua aktiviti dan program yang membabitkan kerajaan Kedah juga turut ditangguhkan sepanjang PKPD Pentadbiran di daerah Kota Setar.

"Rakyat di daerah ini yang diminta mengadakan saringan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mematuhi arahan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini sudah 11,000 penduduk daerah Kota Setar telah disaring oleh KKM sejak semalam dan mereka diminta untuk kuarantin di rumah selepas saringan dibuat," katanya.