Singkir MB Perak: SPRM tak terima laporan

Zainul (tengah) menerima ikrar yang ditandatangani oleh Yang Dipertua MPTI, Azizan Abd Muin (kiri), di sini, hari ini.
Zainul (tengah) menerima ikrar yang ditandatangani oleh Yang Dipertua MPTI, Azizan Abd Muin (kiri), di sini, hari ini.
A
A
A
TELUK INTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, tidak menerima sebarang laporan berkenaan dakwaan kononnya terdapat Exco Kerajaan Negeri membuat tawaran politik kepada Adun BN bagi menjatuhkan Menteri Besar Perak.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, sekiranya terdapat maklumat berkaitan rasuah pihaknya akan segera menjalankan siasatan, namun sehingga kini pihaknya belum menerima apa-apa laporan.

"Setakat ini tak ada, tak timbul di Perak. Kalau ada maklumat berkaitan rasuah tak kira dari segi politik atau apa sahaja kita akan jalankan siasatan.

"SPRM akan sahkan dahulu maklumat diterima dan jika kita ada bukti keterangan berkaitan rasuah kita akan jalankan siasatan," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Dewan Mesyuarat Utama MPTI, di sini, hari ini.

Semalam Pengerusi BN Perak, Datuk Saarani Mohamad melaporkan terdapat beberapa adunnya dipujuk individu di dalam PH bagi menyokong usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Saarani lagi, sekurang-kurangnya lima Adun BN sudah dihubungi secara berasingan oleh lebih dari seorang individu berjawatan exco Perak untuk tujuan tersebut dengan diberikan macam-macam tawaran untuk menyokong mereka bila undi tidak percaya dilakukan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adun BN dipujuk singkir MB Perak]

Sementara itu, Zainul berkata, sebanyak 49 jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta serta badan bukan kerajaan di negeri ini telah menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) antara Januari hingga November tahun ini.

Daripada jumlah berkenaan tujuh daripadanya adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bukan sahaja melibatkan kakitangan mereka malah juga kalangan Ahli Majlis dalam memastikan mereka menjalankan amanah rakyat dengan telus.
Artikel Berkaitan:


"IBR diperkenalkan bagi memboleh agensi dan jabatan kerajaan, syarikat swasta, GLC dan NGO menjalankan tanggungjawab dalam memastikan organisasi mereka bebas dari ancaman rasuah yang boleh memusnahkan negara.

"Saya juga ingin mengingatkan bahawa IBR bukan perkara yang boleh dipandang ringan dikalangan mereka yang menandatanganinya, sebaliknya ia harus diresapi dan dihayati untuk dilaksanakan dari sudut perbuatan," katanya.