Nafuzi tak kecewa TFC tewas di tangan JDT

Pemain JDT, La'vere Lawrence Corbin Ong (jersi biru) diasak oleh pemain TFC, Mohammad Rahmat Makasuf pada saingan Liga Super Malaysia 2020 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. Foto: Bernama
Pemain JDT, La'vere Lawrence Corbin Ong (jersi biru) diasak oleh pemain TFC, Mohammad Rahmat Makasuf pada saingan Liga Super Malaysia 2020 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi. Foto: Bernama
A
A
A

KETUA jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tetap berbangga dengan pemainnya walaupun tewas 0-1 di tangan juara enam kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Menurut Nafuzi, skuad kendaliannya telah mempamer mutu permainan cemerlang dengan semangat juang yang tinggi ketika berhadapan dengan pasukan gergasi, Harimau Selatan.

Justeru, beliau tidak menyalahkan mana-mana pemain biarpun sedikit kecewa kerana gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan di gelanggang sendiri, malam tadi.

"Walaupun kita kalah, kita tak kalah dengan mudah. Pemain saya berjuang dari minit pertama sampai ke 90 minit.

“Dengan 'player' yang kita ada, pemain 'local', pemain muda... apa yang mereka tunjuk mungkin kita setanding JDT atau lebih baik daripada JDT. Jadi saya harus berbangga dengan pemain saya," katanya selepas perlawanan Liga Super menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam tadi.

Pada perlawanan penuh dramatik itu, JDT berjaya melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas TFC sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu Liga Super dengan 19 mata selepas mencatat enam kemenangan dan satu seri.

Liga Super musim ini telah dipendekkan kepada satu pusingan yang merangkumi 11 perlawanan berbanding format asal yang mempunyai dua pusingan (22 perlawanan) akibat Covid-19.

Sementara itu pengendali JDT, Benjamin Mora turut memuji mutu permainan tinggi yang ditunjukkan skuad Penyu.

Artikel Berkaitan:

“Pasukan dalam liga bertambah baik, Terengganu juga. Prestasi Terengganu tidak sama sejak tahun lalu atau tahun-tahun sebelum ini.

"Mereka sering layak ke final, tetapi kini masanya memberi saingan yang hebat dan kami menghargainya kerana kami juga suka menempuh perlawanan bola sepak yang bagus,” katanya. - Bernama