Ringgit dijangka kukuh berbanding dolar AS minggu depan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dijangka kukuh berbanding dolar AS minggu depan berikutan selera yang lebih baik ke atas mata wang tempatan selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus pada Khamis.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, keputusan BNM mengekalkan kadar faedah penanda aras yang tidak berubah menunjukkan keyakinan bahawa pemulihan ekonomi Malaysia sedang berlaku.

“Naratif seperti ini dijangka mendorong sentimen ke atas ringgit sejak keputusan dasar oleh bank pusat dengan unit domestik mencatatkan prestasi terbaik di Asia berbanding dolar AS sejak dua hari lepas (Khamis dan Jumaat), walaupun niaga hadapan Brent menyusut di bawah paras psikologi AS$40 setong.

“Bagaimanapun, pembuat dasar turut menekankan ‘risiko aliran penurunan dan ketidaktentuan’ pada masa depan dan kadar faedah dijangka diturunkan lagi sekiranya momentum pemulihan merosot,” katanya kepada Bernama.

Tan berkata, penyusutan dolar AS yang selanjutnya dijangka menjadikan ringgit-dolar AS diuji semula pada paras terendah setakat ini iaitu 4.1343.

Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Bank of England dan Bank of Japan pula dijangkakan membuat keputusan dasar masing-masing pada minggu akan datang.

Ketua Strategi Pasaran Global, Stephen Innes berkata, ringgit telah mendahului pada suku semasa setakat ini selain yuan China, namun pengukuhan ringgit telah berlanjutan.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit merosot berbanding dolar AS berbanding separuh pertama minggu ini untuk ditutup menghampiri paras psikologi 4.15 berikutan mata wang Asia mencatatkan keputusan yang bercampur-campur berbanding dolar AS.

Artikel Berkaitan:

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit merosot berbanding dolar AS kepada 4.1510/1550 daripada 4.1470/1520 pada minggu sebelum ini.

Ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0384/0420 daripada 3.0410/0458 Jumaat lepas namun merosot berbanding yen kepada 3.9076/9124 daripada 3.9042/9100 sebelum ini.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3104/3167 daripada 5.5143/5213 dan merosot berbanding euro kepada 4.9281/9332 daripada 4.9150/9214. - Bernama