X

Kindly register in order to view this article
!

YTN terus taja pelajar cemerlang

Mahdzir (dua dari kanan) menyempurnakan penganugerahan biasiswa kepada pelajar sambil disaksikan oleh Amir Hamzah di BACC di Bangi Khamis lalu. Foto: ROSLI TALIB
A
A

BANGI - Lebih RM1.1 bilion peruntukan disalurkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneru-si Yayasan Tenaga Nasional (YTN) untuk menaja pelajar cemerlang termasuk untuk tahun ini walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu disebabkan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, jumlah itu disalurkan dalam bentuk biasiswa, dermasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada lebih 16,000 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara sejak YTN ditubuhkan pada tahun 1993.

Menurutnya, meskipun landskap perniagaan semakin mencabar ketika ini, TNB masih meneruskan usaha dan komitmennya membantu pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran.

“Sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), TNB amat komited membantu kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat dan membangunkan modal insan negara melalui peluang pendidikan yang lebih baik.

“TNB dan YTN mahu membentuk pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memperkasakan bakat kepimpinan yang tinggi dalam diri mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Biasiswa YTN 2020 di Bangi Avenue Convention Center (BACC) di sini Khamis lalu.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Ketua Pegawai Insan TNB, Datuk Muhammad Razif Abdul Rahman; Pengarah YTN, Datuk Ir Dr Ibrahim Hussein, Lembaga Pemegang Amanah YTN, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Profesor Datuk Ir Dr Kamal Nasharuddin Mustapha.

Pada majlis itu, Mahdzir menyerahkan biasiswa kepada seramai 93 pelajar yang akan melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda bagi tahun akademik 2020.

Daripada jumlah itu, seramai 73 pelajar melanjutkan pengajian di UNITEN manakala 20 lagi di universiti luar negara antaranya di United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat dan New Zealand.

Kesemua mereka terpilih daripada 7,700 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang memohon sebelum seramai 470 disenarai pendek.

Mahdzir berkata, TNB berkeyakinan bahawa pendidikan menjadi aset penting yang boleh memberikan kehidupan lebih baik kepada keluarga dan generasi akan datang.

Mahdzir (tengah) dan Amir Hamzah (dua dari kanan) bersama pengurusan YTN dan pelajar yang menerima Biasiswa YTN 2020 di BACC, Bangi Khamis lalu. Foto: ROSLI TALIB
Mahdzir (tengah) dan Amir Hamzah (dua dari kanan) bersama pengurusan YTN dan pelajar yang menerima Biasiswa YTN 2020 di BACC, Bangi Khamis lalu. Foto: ROSLI TALIB

“Pelajar ini merupakan pelapis pemimpin dan berpeluang menjadi warga kerja TNB apabila tamat pengajian kelak serta menerajui TNB pada masa akan datang.

“TNB menyokong agenda seperti kemakmuran bersama. Sebab itu kami memilih pendidikan kerana dengan memberi peluang pendidikan yang lebih baik akhirnya boleh mengubah banyak perkara dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, secara puratanya YTN membiayai kira-kira RM700,000 bagi seorang pelajar biasiswa luar negara dan lebih RM120,000 bagi setiap pelajar di UNITEN.

Mahdzir menjelaskan, pengajian pula merangkumi kejuruteraan, komputer, perakaunan, pengajian perniagaan dan bidang-bidang berkaitan.

Katanya, tajaan pengajian itu merupakan sebahagian daripada sumbangan TNB kepada masyarakat di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang meliputi bidang pendidikan, selain sosio-ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar.

Biasiswa suntik semangat, bantu penerima ubah kehidupan

Sementara itu, penerima biasiswa dalam negara, Kamalkhairi Abdul [email protected], 18, dari Kota Kinabalu, Sabah berasa bangga dan bersyukur kerana terpilih menerima biasiswa itu.

“Biasiswa ini suntik semangat kepada saya untuk belajar sepenuh hati dan dapat mencapai cita-cita untuk menjadi seorang jurutera serta berkhidmat dengan TNB. Saya nak bantu ibu bapa agar masa depan kami lebih cerah,” katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, bapanya, Abdul [email protected] Abdullah, 45, membuka gerai menjual ma-kanan dengan dibantu ibunya, Siti Mastura Abang Omar, 51, sejak Januari lalu.

Kamalkhairi yang memperoleh keputusan 7A+ dan 2A dalam SPM kini mengikuti Program Asasi Kejuruteraan Kuasa di UNITEN.

Seorang lagi penerima, Nureen Safiya Noraidi, 18, berkata, dia sangat terharu kerana terpilih untuk mendapatkan biasiswa.

“Beribu pelajar minta biasiswa ini tapi tidak ramai yang dapat jadi kepercayaan yang diberi YTN ini akan saya balas dengan berusaha mencapai cita-cita saya untuk bergelar seorang penganalisis keselamatan siber,” katanya yang berasal dari Kajang, Selangor.

Nureen Safiya yang kini mengikuti Program Asasi Sains Komputer berkata, bapanya, Noraidi Nordin, 45, dan ibunya, Marina Md Din, 44, berkerja dalam bidang teknologi maklumat (IT), namun ia bukan faktor utama dia menceburi bidang itu.

Penerima biasiswa luar negara, Wan Danish Isyraf Wan Mohd Suhaimi, 18, dari Seri Kembangan, Selangor juga melahirkan rasa syukur kerana sasarannya ketika berada di Tingkatan Lima untuk mendapatkan biasiswa itu akhirnya dimakbulkan ALLAH SWT.

“Berkat kerja keras di samping dorongan ibu bapa dan guru, saya berjaya menyambung pelajaran dengan dibiayai oleh biasiswa ini ke Universiti Canterbury, New Zealand,” katanya.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alam Shah, Putrajaya itu memperoleh keputusan 9A+ dalam SPM 2019.

Sementara itu, bapanya, Wan Mohd Suhaimi Wan Jaafar, 46, yang merupakan seorang jurutera berkata, ia merupakan biasiswa terbaik dan dia berasa amat bersyukur kerana berkat doa serta usaha gigih akhirnya apa yang diinginkan oleh anaknya tercapai.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!