Covid-19 bukan alasan culas bayar zakat

Ahmad Shukri Yusoff. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ahmad Shukri Yusoff. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun pandemik koronavirus (Covid-19) telah menjejaskan pendapatan pembayar zakat, ia bukan alasan untuk golongan tersebut mengabaikan kewajiban menunaikan zakat selagi harta yang dimiliki cukup haul dan nisab.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff berkata, masyarakat perlu memahami syarat wajib zakat itu sendiri dan tidak boleh mengambil ringan hanya disebabkan ujian yang sedang dihadapi.

Menurutnya, di Wilayah Persekutuan, walaupun seseorang Muslim itu terputus pendapatan sekalipun, selagi jumlah harta yang diperolehi pada tahun ini melebihi nisab iaitu RM15,762 maka ibadah zakat wajib ditunaikan.

“Contoh pendapatan yang perlu dizakatkan adalah gaji, hasil perniagaan, sewaan, komisen atau apa sahaja yang dikira pendapatan.

“Bahkan zakat tidak tertakluk pada had umur, hatta kanak-kanak pun wajib dikenakan zakat sekiranya telah melebihi nisab walaupun pendapatannya diuruskan penjaganya,” katanya ketika wawancara khas di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, komitmen berterusan para pembayar zakat dalam menunaikan kewajipan itu amat diperlukan pada waktu sekarang, di mana lebih ramai masyarakat asnaf yang perlu dibantu untuk bangkit semula disebabkan terjejas dengan wabak Covid-19.

Katanya, sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pihaknya mengakui agak bimbang sekiranya berlaku penurunan mendadak hasil pembayaran zakat dan akan menjejaskan fungsi agihan zakat kepada golongan asnaf oleh Baitulmal MAIWP.

“Bagaimanapun Alhamdullillah berdasarkan statistik, PPZ-MAIWP mencatatkan peningkatan pembayar sebanyak 94 peratus iaitu 348,612 pembayar zakat pada Januari hingga Ogos berbanding tempoh sama pada 2019. Peningkatan pembayar itu juga meliputi peningkatan lapan peratus hasil kutipan bagi tempoh sama.

Artikel Berkaitan:

“Ini menunjukkan walaupun tahun ini ekonomi negara mengalami kesukaran, masih ramai yang tetap menunaikan zakat. Nampaknya impak daripada wabak Covid-19 ini belum memberi kesan tahun ini. Namun kemungkinan kesannya akan dilihat pada tahun depan,” katanya.

Keberkatan

Ahmad Shukri berkata, ibadah zakat bukan sahaja dilihat pada aspek nisab dan haul semata-mata, sebaliknya yang dikejarkan adalah keberkatan dalam menunaikan zakat tersebut.

Kerana itu katanya, PPZ-MAIWP amat menggalakkan setiap lapisan masyarakat Islam membayar zakat meskipun belum menepati syarat wajib zakat.

“Walaupun pendapatan kecil, tapi masih mahu berzakat walaupun hanya RM10, teruskan niat tersebut. Insya-ALLAH bagi mereka yang menunaikan zakat pasti akan merasai penambahan rezeki.

“Di PPZ-MAIWP sendiri kita menggalakkan semua kakitangan walaupun ada yang belum layak, bayar zakat walaupun sedikit. Bahkan kita ada kelompok pembayar yang belum wajib zakat tetapi konsisten membayar zakat kerana mereka percaya pada keberkatan yang diperoleh,” katanya.

Kempen

Dalam usaha memudahkan pembayaran zakat, beliau berkata, PPZ-MAIWP telah melancarkan Kempen Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB) bermula 1 Ogos hingga 30 November yang turut menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM40,000.

Katanya, melalui Skim PZB, membolehkan perbelanjaan pembayar lebih terancang tanpa membebankan pembayar untuk membayar zakat sekali gus pada akhir tahun.

“Selain lebih mudah, jimat masa dan kos tanpa perlu ke kaunter, kaedah ini juga dapat diselaraskan denganpotongan cukai bulanan (PCB).

“Semua pembayar baharu dan mereka yang menambah potongan zakat bulanan berpeluang untuk memenangi hadiah ditawarkan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, walaupun agihan zakat adalah di bawah Baitulmal MAIWP, PPZMAIWP tidak terkecuali memainkan peranan membantu golongan memerlukan dengan mewujudkan Khaira PPZ.

Katanya, Khaira PPZ adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bergerak aktif sejak Mac 2019 dengan menyantuni golongan selain asnaf di bawah Baitulmal MAIWP.

“Sejak ditubuhkan, lebih 100 program CSR telah dilaksanakan, malah ketika PKP lalu, PPZ-MAIWP melalui Khaira PPZ ini telah menyalurkan bantuan bernilai RM7 juta,” katanya.