X

Kindly register in order to view this article
!

Asing tahanan elak penularan Covid-19, kata Shafie

Mohd Shafie - Foto Bernama
A
A

SEMPORNA - Susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di Sabah khususnya di daerah Lahad Datu dan Tawau, kerajaan negeri mengambil langkah drastik bagi mengekang penularan pandemik itu termasuk meminta pihak berkuasa melakukan pengasingan antara tahanan asing dengan tahanan tempatan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau sendiri telah mengadakan mesyuarat tergempar dan memaklumkan Pesuruhjaya Polis Sabah untuk melakukan pengasingan terutama apabila membabitkan tahanan dari Filipina dan Indonesia yang mungkin mempunyai risiko jangkitan Covid-19.

“Saya maklumkan kepada ketua polis negeri (Pesuruhjaya Polis Sabah) supaya asingkan tahanan orang asing sama ada datang dari Filipina dan Indonesia yang kemungkinan mereka ini terjangkit (Covid-19)... jadi bila masuk dalam penjara, mereka masuk dengan orang-orang (tahanan) tempatan.

“Saya akan pantau keadaan perkembangan Covid-19. Alhamdulillah setakat ini terkawal walaupun ia berlaku dan jumlahnya agak mendadak...tapi ia hanya di kawasan penjara sahaja...penjara Tawau,” katanya di sini.

Hari ini Kluster Benteng di Sabah terus mencatatkan pertambahan jangkitan baharu Covid-19 iaitu 167 kes membabitkan 76 rakyat tempatan manakala 91 lagi adalah warga asing.

Setakat ini, kluster Benteng Lahad Datu merekodkan sejumlah 250 kes positif di Tawau dan 87 kes positif di Lahad Datu menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 bagi kluster itu adalah 337 orang.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Benteng Lahad Datu di daerah itu dan di Tawau adalah terkawal serta tidak berada dalam komuniti tempatan di situ di mana ia dikesan membabitkan kes positif dalam kalangan pendatang tanpa izin yang memasuki negara melalui laluan tikus.

Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri Sabah turut membekalkan hampir 10 juta keping pelitup muka untuk diedarkan ke seluruh negeri termasuk lima juta yang telah diedarkan di sekolah dan pasar raya bagi membantu mereka yang sukar mendapatkan bekalan bahan tersebut selain mengawal penularan Covid-19.

“Saya sudah maklumkan kepada pegawai daerah dan pemimpin kampung untuk agihkan bekalan ini... Pusat Daerah Mengundi dan pusat pengundian juga kita bekalkan dengan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jentera calon parti-parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika berada di negeri itu serta mematuhi segala prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!