Melaka Titans buru status juara

Pertemuan antara Melaka Titans dan Terengganu Turtles di Stadium Titiwangsa kelmarin. -Foto Facebook SepakTakraw League
Pertemuan antara Melaka Titans dan Terengganu Turtles di Stadium Titiwangsa kelmarin. -Foto Facebook SepakTakraw League
A
A
A

SELAKU juara Kumpulan A, Melaka Titans optimis mampu membenam cabaran Bomba Fighters pada aksi separuh akhir Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen 1 2020 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Pengurus Melaka Titans, Ridzuan Ahmad berkata, beliau yakin anak-anak buahnya mampu sekali lagi memperagakan rentak terbaik mereka ketika berdepan naib juara Kumpulan B itu berdasarkan prestasi cemerlang menewaskan Terengganu Turtles kelmarin.

“Sasaran kami jelas iaitu untuk layak ke saingan Divisyen Premier tahun depan dan sasaran kedua adalah untuk layak ke final seterusnya muncul juara Divisyen 1.

“Kami bermain untuk negeri kami dan sudah pastinya para pemain Melaka Titans akan memberikan aksi terbaik. Saya harap kami mampu merealisasikan sasaran muncul juara.

“Apa sekalipun, kami perlu melepasi halangan Bomba Fighters pada aksi separuh akhir esok (hari ini). Jika menang, baru kami akan mencongak peluang untuk muncul juara,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Melaka Titans muncul juara Kumpulan A selepas menewaskan Terengganu Turtles 21-9, 21-16 pada aksi ketiga kelmarin. Sebelum itu, Melaka Titans melakar kemenangan ke atas dua pasukan - MASUM-UPM Knights 21-17, 21-14 dan Perlis Vipers (21-15, 21-12).

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kali ini kami bermain untuk negeri kami dan kami telah pun membuat persiapan awal bagi menghadapi saingan Divisyen 1,” jelas Ridzuan.

Juara Kumpulan B, Putrajaya Cyborg pula mahu tampil lebih berwaspada apabila dijadualkan menentang naib juara Kumpulan A, MASUM-UPM Knights dalam satu lagi pertembungan separuh akhir hari ini.

Artikel Berkaitan:

Jurulatih Putrajaya Cyborg, Khairul Bahrin Abd Rahman berkata, kesemua pemainnya telah diingatkan untuk beraksi seperti biasa kerana menyedari lawan mereka itu turut mengintai peluang merebut slot ke pentas final.

“Bila dah masuk peringkat separuh akhir ini bagi saya semua pasukan bagus-bagus dan pasukan mana yang kurang melakukan kesilapan, pasukan itulah yang akan mara ke pentas final.

“Saya dah beritahu setiap pemain supaya bermain macam biasa dan bermain macam game sendiri apabila turun menentang MASUM-UPM Knights nanti. Mereka harus elak daripada melakukan kesilapan yang tak sepatutnya,” jelasnya