X

Kindly register in order to view this article
!

Pengajaran kes kilang haram

A
A

KELMARIN kerajaan mengumumkan waktu operasi kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga jam 2 pagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebelum ini waktu operasi premis perniagaan termasuk kedai makan dan kedai serbaneka ditetapkan sehingga jam 12 tengah malam sahaja.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas kelmarin selepas menerima banyak aduan pemilik premis yang pendapatan mereka terjejas kerana waktu operasi terhad.

Keputusan itu nyata menggembirakan banyak pihak terutamanya tauke restoran dan pengusaha industri pelancongan yang sebelum ini menghadapi kekangan disebabkan waktu operasi yang terhad.

Ia juga menggembirakan mereka yang sebelum ini sudah terbiasa meluangkan masa bersama rakan-rakan di restoran sambil menonton siaran langsung bola sepak.

Pada pandangan Pak Su, lanjutan operasi hingga jam 2 pagi sudah memadai dan janganlah dibenarkan restoran untuk beroperasi selama 24 jam.

Pak Su perhatikan semasa operasi restoran dihadkan pada jam 12 tengah malam, keadaan restoran lebih bersih kerana pekerja mempunyai masa untuk mencuci premis dengan sempurna.

Pekerja pula mempunyai rehat mencukupi kerana tidak perlu bersengkang mata melayan pelanggan pada waktu graveyard.

Orang ramai pula boleh mengawal diri masing-masing daripada terjerumus ke lembah obesiti. Banyak kebaikan sebenarnya jika waktu operasi dihadkan berbanding keuntungan kepada pengusaha restoran semata-mata.

Kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin awal bulan ini mengenai pub dan kelab malam mengejutkan kaki clubbing dan tauke kelab malam.

Presiden Persekutuan Industri Hiburan Malaysia, Liew Poon menganggap kenyataan itu sebagai satu tamparan memandang bar dan pub sedang bertahan selepas tidak dibenarkan beroperasi sejak Mac susulan Covid-19.

Muhyiddin dalam Konvensyen Perikatan Nasional (PN) di ibu negara berkata sambil tersenyum:

“Ekonomi negara kita sedang pun menunjukkan tanda-tanda pemulihan setelah hampir semua sektor ekonomi dibuka semula.

“Yang tak buka hanya kelab malam, pub-pub. Saya fikir kalau tak buka selama-lamanya pun bagus juga kot.”

Pak Su sokong kenyataan PM kita itu kerana sudah sampai masanya pusat-pusat hiburan tersebut direhatkan kerana kes mabuk, dadah dan pelacuran mempunyai kaitan yang kuat dengan tempat-tempat tersebut.

Selain keuntungan kepada pengusahanya dan hasil cukai minuman keras untuk kerajaan, tempat berkenaan lebih banyak memberi kesan negatif kepada masyarakat terutama yang sudah berkeluarga.

Bukan semua rakyat Malaysia suka tempat-tempat sebegitu. Hanya segelintir yang menjadikannya sebagai tempat merehatkan minda.

Akhir sekali, Pak Su terkejut apabila mendapat tahu kilang yang menyebabkan pencemaran di Sungai Gong - punca 5 juta pengguna air di Selangor dan Kuala Lumpur terputus bekalan air minggu lepas beroperasi secara haram sejak enam tahun lalu.

Enam tahun bukannya singkat. Ia adalah tempoh yang lama dan jika tidak kerana air sungai itu tercemar, kita tidak tahu berapa lama lagi kilang tersebut akan terus beroperasi.

Atas nama program pemutihan, kilang yang diusahakan adik-beradik itu mengambil kesempatan di atas peluang yang diberikan kerajaan negeri.

Jika arahan untuk memohon lesen diabaikan, mana mungkin kilang itu akan patuh SOP? Sudah pasti jauh panggang dari api.

Pak Su harap lepas ini, pihak berkuasa tempatan perlulah lebih tegas dan jangan berani dengan peniaga tempatan tepi jalan sahaja.

Bertindaklah dengan adil tidak kiralah pesalah itu ikan bilis, ikan jerung waima ikan tongkol sekali pun.

Undang-undang perlu ditegakkan dengan seadil-adilnya!


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!